SIJIL Pelajaran Malaysia (SPM) terus menjadi elemen penting dalam ekosistem pendidikan negara, bukan sekadar sebagai penilaian akademik tetapi juga sebagai simbol pencapaian yang membuka pelbagai peluang masa hadapan. Dalam konteks ini, SPM berfungsi sebagai penanda aras utama yang mencerminkan tahap pendidikan pelajar selepas 11 tahun berada dalam sistem persekolahan formal.
Malah, ia juga menjadi syarat minimum untuk memasuki pasaran kerja di banyak sektor.
Selain itu, SPM berfungsi sebagai alat untuk menilai literasi dan numerasi pelajar untuk membina tenaga kerja kompeten. Walaupun begitu, cabaran tetap wujud apabila seramai 24,228 calon tidak hadir menduduki peperiksaan pada tahun lalu.
Walaupun penting, SPM menjadi subjek perdebatan. Antaranya isu kualiti pendidikan Malaysia yang masih ketinggalan berbanding negara jiran seperti Singapura dan Vietnam.
Walaupun terdapat kritikan, SPM masih relevan sebagai penanda aras pendidikan formal. Ia memberikan struktur kepada sistem pendidikan negara dan menyediakan asas untuk penilaian pencapaian pelajar. Tanpa sijil seperti SPM, ramai pelajar mungkin tidak mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian atau mendapatkan pekerjaan yang stabil.
Namun begitu, relevansi SPM perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Generasi muda kini mempunyai akses kepada pelbagai laluan alternatif selain daripada laluan akademik tradisional. Contohnya, program latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan latihan vokasional. Oleh itu, SPM perlu dilengkapkan dengan pendekatan pendidikan yang lebih inklusif dan fleksibel.
Bagi memastikan keberkesanan SPM terus relevan dalam era moden, beberapa langkah strategik perlu diambil bagi memperkasa sistem pendidikan negara. Pertama, pemodenan kurikulum perlu dilaksanakan dengan menyesuaikan kandungan pendidikan kepada keperluan semasa. Ini termasuk memperkenalkan kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan literasi digital agar pelajar lebih bersedia menghadapi cabaran dunia moden. Selain itu, program literasi dan numerasi perlu diperkenalkan lebih awal sebagai langkah intervensi untuk menangani isu keciciran akademik yang sering berlaku dalam kalangan pelajar.
Seterusnya, peningkatan infrastruktur sekolah, terutamanya di kawasan pedalaman penting untuk memastikan kemudahan yang setara dengan sekolah di kawasan bandar. Langkah ini dapat mengurangkan jurang pendidikan antara pelajar bandar dan luar bandar serta memberi peluang sama rata kepada semua pelajar. Di samping itu, pendekatan pendidikan holistik perlu diberi perhatian dengan menekankan bukan sahaja pencapaian akademik tetapi juga pembangunan sahsiah pelajar. Pendekatan ini mampu melahirkan individu yang lebih seimbang dan bersedia untuk menghadapi cabaran global.
Akhir sekali, akses kepada laluan alternatif seperti program TVET dan latihan vokasional perlu ditingkatkan.-UTUSAN
NORDIANA MOHD. NORDIN dan NURUL NISHA MOHD. SHAH
Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Kampus Rembau










