DALAM dunia yang semakin kompleks akibat globalisasi, digitalisasi dan perubahan struktur ekonomi, keupayaan sesebuah negara untuk bersaing di peringkat global banyak bergantung kepada pembangunan modal insan berkualiti.
Perubahan pesat teknologi seperti Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), mencetuskan keperluan mendesak untuk melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi juga fleksibel dalam menyesuaikan diri dengan landskap pekerjaan yang kian berubah.
Di Malaysia, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dikenalpasti sebagai antara pemacu utama yang mampu membentuk tenaga kerja berdaya saing, sejajar dengan matlamat negara untuk menjadi hab ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi.
Kejayaan TVET tidak seharusnya diukur hanya melalui kadar penyertaan pelajar baharu atau jumlah graduan yang dihasilkan sebaliknya perlu memberi penekanan kepada pengiktirafan pembelajaran dan pengalaman tidak formal, terutamanya bagi mereka yang telah menyumbang dalam pasaran kerja tetapi tidak memiliki kelayakan rasmi.
Dalam konteks ini, Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) menjadi komponen kritikal. PPT merupakan mekanisme yang menghargai kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh melalui pengalaman kerja, pembelajaran kendiri atau latihan tidak formal. Ia juga membolehkan individu mendapatkan sijil atau kelayakan formal tanpa perlu melalui pendidikan tradisional dari awal.
Langkah ini bukan sahaja memartabatkan pengalaman mereka yang telah lama bekerja, tetapi juga membantu dalam mempercepatkan usaha Malaysia untuk mencapai sasaran pembangunan modal insan.
Dalam konteks global, statistik menunjukkan 90 peratus pekerjaan masa hadapan memerlukan kemahiran teknikal dan vokasional, menjadikan TVET sebagai elemen penting dalam memastikan kelangsungan ekonomi negara dan menyokong pembangunan sektor berteknologi tinggi. Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) juga mengesahkan dunia bakal berdepan kekurangan tenaga kerja mahir dalam bidang teknikal serta vokasional menjelang 2030.
Ini jelas menunjukkan fokus kepada TVET bukan lagi sekadar pilihan, tetapi satu keperluan strategik untuk Malaysia agar terus relevan dalam menghadapi cabaran globalisasi dan digitalisasi. Sektor TVET juga mampu membantu negara memenuhi permintaan industri, khususnya dalam sektor seperti automasi, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau yang semakin berkembang pesat.
Di Malaysia, PPT telah menjadi sebahagian daripada usaha strategik kerajaan untuk memperkasakan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Menurut data daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), lebih daripada 15,000 pekerja berjaya memperoleh sijil formal berdasarkan pengalaman mereka melalui PPT.
Secara keseluruhannya, TVET dan PPT adalah pemacu utama transformasi ekonomi Malaysia, menyediakan asas yang mampan untuk pembangunan modal insan berkualiti tinggi.
Dalam dunia yang semakin mencabar dan kompetitif, TVET bukan sahaja harus dilihat sebagai satu pilihan pendidikan, tetapi sebagai keutamaan strategik untuk memastikan Malaysia terus maju sebagai negara berpendapatan tinggi. Dengan menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat dan menghargai sumbangan semua individu melalui sistem PPT, Malaysia berpotensi menjadi hab tenaga kerja mahir yang bukan sahaja memenuhi keperluan tempatan tetapi turut diiktiraf di persada dunia. Oleh itu, pelaburan dalam TVET dan pengukuhan PPT bukan sekadar satu langkah bijak, tetapi keperluan kritikal bagi memastikan kelestarian ekonomi dan kesejahteraan masa hadapan negara. Hargai pengalaman, martabatkan kemahiran.-UTUSAN
NURUL NISHA MOHD. SHAH dan MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
dan Sixtysix Action Academy










