PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) di Johor memainkan peranan penting dalam ekosistem perniagaan antarabangsa, terutamanya dengan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Inisiatif ini bertujuan mengukuhkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura dan pada masa sama menawarkan peluang besar kepada PKS tempatan untuk berkembang di peringkat global.
PKS merupakan tulang belakang ekonomi Johor, menyumbang Keluaran dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri. Menurut Laporan Ekonomi 2021/2022 Negeri Johor, KDNK Negeri dianggarkan mencapai RM131 juta pada 2021, dengan pertumbuhan sebanyak 2.4 peratus.
JS-SEZ menawarkan peluang besar kepada PKS untuk memperluas operasi di peringkat antarabangsa dengan memanfaatkan kedudukan strategik Johor dan Singapura sebagai pintu masuk utama kepada ekonomi global.
Singapura berfungsi sebagai hab eksport utama, membuka pintu kepada PKS untuk mengakses rangkaian perniagaan antarabangsa dan memasarkan produk mereka kepada pelanggan luar negara. Selain itu, JS-SEZ dirancang dengan infrastruktur moden yang menyokong logistik dan rantaian bekalan seperti pelabuhan, lapangan terbang dan jalan pengangkutan yang cekap. Contohnya Laluan Transit Rapid (RTS) Johor-Singapura yang dijangka memudahkan pergerakan barang dan tenaga kerja antara kedua-dua wilayah, seterusnya meningkatkan produktiviti PKS.
Walaupun terdapat peluang yang signifikan, PKS di Johor menghadapi cabaran seperti saiz operasi yang kecil dan sumber yang terhad, yang boleh mengehadkan kemampuan untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan.
Menurut laporan Bank Negara, secara umumnya PKS kurang dalam aspek penggunaan teknologi dan akses kepada pasaran global. Ia menghalang mereka daripada mencapai kecekapan dan produktiviti yang lebih tinggi.
Untuk mengatasi cabaran ini, usaha untuk mempertingkatkan daya saing PKS melalui konsep satu daerah satu industri dengan meliputi kawasan penyertaan yang lebih besar. Usaha akan ditujukan ke arah mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam proses industri luar bandar, memperoleh pentauliahan kualiti dan menaik taraf promosi pasaran dengan mewujudkan hubungan dengan pelanggan korporat dan antarabangsa.
Selain itu, penubuhan dana khas untuk PKS, termasuk pinjaman mikro dan skim geran inovasi boleh membantu PKS mengatasi kekangan modal.
Dengan memanfaatkan peluang ini, PKS Johor boleh menjadi pemacu utama dalam meningkatkan daya saing ekonomi negeri dan negara. Namun mereka perlu meningkatkan akses kepada teknologi, menyediakan insentif dan memperkukuhkan kerjasama rentas sektor supaya dapat membantu PKS mencapai potensi penuh.
Data menunjukkan 98.5 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia adalah PKS, menyumbang sebanyak 38.2 peratus kepada KDNK negara. Oleh itu, peranan PKS dalam JS-SEZ bukan sahaja penting untuk Johor, tetapi juga untuk pembangunan ekonomi negara secara keseluruhan.
Dengan perancangan yang teliti dan pelaksanaan yang berkesan, JS-SEZ mampu menjadi modal kejayaan kerjasama ekonomi serantau yang memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.-UTUSAN
DR. ZURINA SAMSUDIN
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian
Perniagaan Johor (JBS) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










