Malaysia perlu pimpin ASEAN 2025 ke arah lebih baik

Malaysia perlu pimpin ASEAN 2025 ke arah lebih baik

MALAYSIA berpeluang mencipta sejarah sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi serantau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 1 Januari 2025, Malaysia memulakan peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN yang baharu. Peluang ini hadir pada saat ekonomi ASEAN sedang melonjak, dengan pertumbuhan KDNK mencecah 4.7 peratus pada 2024, menjadikan rantau ini ekonomi kelima terbesar di dunia.

Dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia bersedia mengorak langkah besar untuk memperkukuh kedudukan ekonomi serantau dan global.

Sebagai peneraju ASEAN, Malaysia mengutamakan tiga strategi utama iaitu memperluaskan hubungan perdagangan dan pelaburan, memacu transformasi digital dan memperkukuhkan ekonomi negara anggota.

Fokus ini mencerminkan kesediaan Malaysia untuk mendepani cabaran ekonomi global, selain memastikan rantau ini terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik.

Dalam usaha ini, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadi inisiatif utama yang berpotensi mengubah landskap ekonomi Johor dan Malaysia. Sebagai platform kolaborasi ekonomi, JS-SEZ bukan sahaja membuka ruang kepada pelaburan teknologi hijau dan tinggi, tetapi juga menjadikan Johor sebagai hab ekonomi utama ASEAN.

JS-SEZ turut memperkukuh kedudukan Johor sebagai pusat perdagangan serantau, di mana akses pasaran baharu melalui teknologi tinggi dan hijau dapat meningkatkan daya saing negara. Melalui promosi aktif semasa kepengerusian ASEAN, JS-SEZ boleh dijadikan daya penarik kepada pelabur asing yang mencari peluang dalam pasaran ASEAN yang berkembang pesat.

Malaysia juga berpotensi menjadi peneraju dalam transformasi digital melalui Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA). Sasaran DEFA untuk menjana ekonomi digital ASEAN bernilai AS$1 trilion menjelang 2030 membuka peluang besar, terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Zon Iskandar Malaysia.

Pada masa yang sama, kerjasama tenaga melalui Grid Tenaga ASEAN dapat memperkukuh usaha peralihan tenaga bersih dan pembangunan infrastruktur tenaga mampan. Inisiatif dagangan karbon pula memberikan peluang kepada Malaysia untuk menerajui agenda kelestarian, menarik pelaburan teknologi hijau dari syarikat antarabangsa.

Kepengerusian ASEAN juga membuka ruang untuk Malaysia memperkukuhkan kedudukan sebagai pemimpin dalam industri pelancongan dan halal. Negara-negara ASEAN terkenal dengan kepelbagaian budaya dan makanan yang unik. Malaysia boleh memainkan peranan dalam mempromosikan ASEAN sebagai destinasi pelancongan hijau sambil mengembangkan standard halal untuk akses pasaran global.

Namun, Malaysia perlu bersedia menghadapi cabaran seperti kos sara hidup yang meningkat akibat pembangunan JS-SEZ, selain memastikan infrastruktur yang dirancang dapat disiapkan tepat pada waktunya. Ketidaktentuan ekonomi global juga memerlukan langkah diplomasi perdagangan yang strategik untuk memastikan rantau ini kekal menarik kepada pelabur asing.

Kerajaan juga perlu menumpukan kepada pembangunan tenaga kerja mahir, terutama dalam bidang teknologi tinggi dan tenaga boleh diperbaharui, bagi memastikan rakyat tempatan dapat meraih manfaat langsung daripada limpahan ekonomi ini.

Dengan memanfaatkan peluang kepengerusian ASEAN 2025 dan pembangunan JS-SEZ, Malaysia berpeluang mencipta sejarah sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi serantau.

Walau bagaimanapun, pendekatan holistik dan kerjasama erat antara sektor kerajaan dan swasta diperlukan untuk memastikan cabaran dapat diatasi dan peluang dimanfaatkan sepenuhnya.

Tahun 2025 bakal menjadi penanda aras penting bagi Malaysia, bukan sahaja sebagai peneraju ASEAN tetapi juga sebagai contoh kepada negara-negara anggota lain dalam mencapai pertumbuhan inklusif dan lestari. – UTUSAN

DR. NOR YASMIN MHD BANI
Pensyarah Kanan,
Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN