Laksana toleransi sifar pada kemalangan jalan raya

Laksana toleransi sifar pada kemalangan jalan raya

KEMALANGAN jalan raya adalah akibat daripada dasar pengangkutan yang lemah, kenderaan yang rosak, kepincangan perancangan bandar, reka bentuk jalan, penguatkuasaan yang tidak mencukupi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pengangkutan supaya melaksanakan langkah keselamatan yang lebih cekap dan ketat  di seluruh negara bagi mengurangkan kemalangan jalan raya. Baru-baru ini, terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat. 

Pada 2024 sahaja, terdapat 825 kemalangan maut melibatkan kenderaan tersebut dalam tempoh 10 bulan sahaja. Adalah penting untuk mengakui kemalangan jalan raya dan kematian bukanlah kemalangan. 

Kemalangan jalan raya adalah akibat daripada dasar pengangkutan yang lemah, kenderaan yang rosak, kepincangan perancangan bandar, reka bentuk jalan, penguatkuasaan yang tidak mencukupi dan  kekurangan kemahuan politik untuk menguatkuasakan langkah-langkah kukuh untuk membendung kemalangan. 

Dalam banyak kes, seluruh keluarga hilang secara tragis, namun kebanyakan kita tetap bersikap acuh tak acuh, mengabaikan penderitaan orang lain. Apakah yang telah dilakukan oleh pihak agensi dan penggubal dasar? 

Mereka menganggap isu ini terlalu ringan, membenarkan pembunuhan beramai-ramai berterusan tanpa kawalan. Faktor-faktor seperti kelajuan, tabiat pemanduan yang buruk, sikap pemandu, jalan raya sesak, keadaan jalan yang tidak memuaskan dan penguatkuasaan lemah semuanya menyumbang kepada bilangan kemalangan yang tinggi di Malaysia. 

Walaupun keselamatan jalan raya menjadi tanggungjawab semua namun kerajaan mestilah mengambil langkah utama dalam menangani isu ini. Jelas sekali, pihak berkuasa mengambil masa terlalu lama untuk mengkaji, merancang dan melaksanakan langkah-langkah yang perlu. 

CAP menggesa penggubal dasar dan agensi untuk mengutamakan keselamatan jalan raya dan memberikan perhatian berat terhadap isu ini. Pengangkutan awam juga perlu digalakkan sebagai sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk mengurangkan penderitaan manusia dan mencegah tragedi selanjutnya. –UTUSAN

 

MOHIDEEN ABDUL KADER

Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN