MASYARAKAT sivil yang bertamadun menekankan kesederhanaan dalam ekspresi seni dan budaya. Hiburan seharusnya menenangkan jiwa, mendidik akhlak serta tidak mengandungi unsur yang merosakkan nilai dan norma sosial. Namun, arus hiburan hari ini semakin tersasar, dipenuhi unsur maksiat, kelalaian dan normalisasi tingkah laku bertentangan dengan fitrah manusia.
Pemakaian lelaki menyerupai wanita dalam industri hiburan bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi turut menggugat budaya ketimuran yang menyanjung tinggi kesederhanaan, kesopanan serta maruah diri.
Budaya ketimuran telah sekian lama mengangkat nilai kesederhanaan dalam berpakaian dan bertingkah laku. Adat Melayu, misalnya, menekankan budi pekerti, tata susila dan kehormatan diri sebagai asas kehidupan.
Islam pula memperhalusi budaya ini dengan garis panduan yang jelas, termasuk dalam soal hiburan, pergaulan dan ekspresi diri. Normalisasi lelaki berpakaian wanita dalam hiburan moden boleh membawa kepada kekeliruan identiti, keruntuhan akhlak dan nilai Islam serta pelanggaran norma masyarakat yang berakar pada tradisi luhur.
Konsep masyarakat sivil Islam menuntut keseimbangan antara hak individu dan tanggungjawab sosial bagi memastikan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.
Prinsip saddu az-zari’ah dalam fiqh Islam menjelaskan sebarang perkara yang boleh membawa kerosakan sosial harus dicegah. Oleh itu, fenomena ini perlu dibendung dengan langkah-langkah lebih tegas, termasuk pemerkasaan pendidikan agama berlandaskan epistemologi tauhid, garis panduan ketat dalam industri hiburan serta peranan aktif masyarakat dalam membentuk wacana hiburan yang lebih sihat dan beretika.
Beberapa langkah perlu diambil untuk menangani cabaran ini. Pertama, pendidikan mengenai batasan seni dan hiburan dalam Islam perlu diperjelaskan supaya kebebasan tidak disalahgunakan hingga merosakkan norma masyarakat.
Kedua, pihak berkuasa dan media perlu menetapkan garis panduan lebih jelas agar kandungan hiburan tidak bercanggah dengan prinsip Islam dan budaya ketimuran yang menyanjung kesederhanaan serta kesopanan.
Ketiga, industri kreatif dan hiburan harus mencari keseimbangan dalam berkarya tanpa menjejaskan jati diri Islam serta moral masyarakat.
Keempat, ulama, akademia serta pemimpin masyarakat perlu tampil memberikan panduan berasaskan ilmu dan hikmah agar wacana ini dibincangkan secara ilmiah, bukan sekadar perdebatan kosong.
Hiburan dalam Islam bukan sekadar medium hiburan tetapi juga alat mendidik, menenangkan jiwa dan membawa manusia lebih dekat kepada Allah. Hiburan yang melampaui batas bukan sahaja melalaikan malah mencemarkan nilai dan pemikiran yang akhirnya merosakkan masyarakat sivil Islam.
Sebagai masyarakat Islam yang bertamadun, kebebasan individu tidak seharusnya menghakis asas moral dan budaya yang telah membentuk peradaban Islam serta ketimuran sejak berabad lamanya. Oleh itu, membina masyarakat sivil yang beradab memerlukan kita kembali kepada tauhid sebagai asas kehidupan agar nilai Islam terus dipertahankan dan masyarakat berkembang dalam suasana harmoni, sejahtera serta diberkati.
Kehidupan manusia bukanlah bebas daripada nilai tetapi harus berpandukan wahyu dan syariat agar tidak membawa kepada penyimpangan moral atau intelektual. Oleh itu, penghayatan epistemologi tauhid dalam kehidupan bermasyarakat dan budaya adalah satu keperluan untuk memastikan keseimbangan antara kebebasan manusia serta tanggungjawab sosialnya dalam membina sebuah peradaban yang lebih bermakna lagi diberkati Allah.-UTUSAN
DR. MUHAMMAD IRHAMMUDIN IBRAHIM
Institut Penyelidikan & Latihan Halal Antarabangsa (INHART)
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)










