DALAM dunia yang semakin didominasi teknologi, kehadiran perpustakaan semakin terpinggir. Generasi Z lebih cenderung menggunakan gajet dan aplikasi komputer berbanding mengunjungi perpustakaan. Di Malaysia, kajian Perpustakaan Negara menunjukkan kadar kunjungan ke perpustakaan menurun secara ketara, dengan akses mudah kepada internet menjadi salah satu punca utama.
Teknologi membawa manfaat besar dalam pembelajaran, tetapi juga menyebabkan kebergantungan terhadap maklumat digital yang sering kurang ketepatan berbanding sumber bercetak. Buku dan jurnal akademik melalui proses penyuntingan ketat, menjadikannya lebih dipercayai sebagai rujukan utama. Oleh itu, keseimbangan antara penggunaan teknologi dan pembacaan fizikal amat penting.
Perpustakaan perlu diberikan nafas baharu untuk menarik minat generasi muda. Inisiatif seperti perpustakaan pintar yang menggabungkan teknologi digital dengan koleksi buku fizikal boleh menjadi langkah pertama. Selain itu, sesi bacaan, perbincangan ilmiah, dan bengkel penulisan boleh dianjurkan bagi menggalakkan masyarakat menghargai nilai ilmu.
Dalam Islam, membaca adalah suatu tuntutan penting. Ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad adalah perintah membaca, seperti dalam Surah Al-‘Alaq, ayat 1-2. Ayat ini menunjukkan kepentingan membaca dalam membina masyarakat berilmu.
Oleh itu, menghidupkan budaya membaca dan memanfaatkan perpustakaan adalah keperluan akademik dan tuntutan agama.
Untuk memastikan keseimbangan antara pembacaan tradisional dan digital, institusi pendidikan perlu menggalakkan penggunaan perpustakaan dengan menyediakan bahan rujukan berkualiti tinggi. Ibu bapa dan guru juga perlu memperkenalkan buku-buku menarik kepada anak-anak sejak kecil bagi memupuk minat membaca. Dengan cara ini, kita dapat memastikan perpustakaan terus relevan dan menjadi pusat ilmu berdaya saing.
Menghidupkan kembali perpustakaan bukanlah usaha sukar jika semua pihak terlibat. Perpustakaan bukan sekadar tempat menyimpan buku, tetapi pusat pembelajaran yang membentuk masyarakat lebih berpengetahuan. Walaupun teknologi berkembang, budaya membaca harus terus dipertahankan demi masa depan generasi akan datang. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM










