Apa keperluan ‘banggakan’ artis, lagu Indonesia di rancangan realiti kita?

Apa keperluan ‘banggakan’ artis, lagu Indonesia di rancangan realiti kita?

PROGRAM realiti tempatan perlu lebih proaktif dalam memberikan ruang kepada lagu-lagu dan artis Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat trend yang semakin ketara dalam program realiti mega apabila menampilkan artis-artis Indonesia sebagai bintang tamu serta juri jemputan.

Selain itu, penggunaan lagu-lagu Indonesia dalam rancangan tersebut juga amat meluas, mengatasi jumlah lagu tempatan yang dimainkan. Lihat sahaja segmen duet pertandingan akhir sebuah program realiti, yang mana tiga daripada enam lagu adalah daripada Indonesia, dengan hanya dua lagu duet tempatan dan satu antarabangsa.

Tidak dapat dinafikan artis Indonesia mempunyai reputasi dan pengaruh yang besar di rantau ini. Mereka sudah mempunyai peminat yang kukuh di Malaysia. Malah lagu-lagu mereka mendominasi carta radio tempatan. Tambahan pula lagu-lagu negara seberang dianggap lebih mesra pendengar dan memiliki nilai sentimental yang tinggi. Banyak lagu dari seberang mempunyai melodi dan lirik yang mudah dihayati, menjadikannya pilihan popular bagi peserta program realiti untuk menonjolkan bakat mereka.

Namun, trend ini turut menimbulkan beberapa kebimbangan. Apabila terlalu banyak lagu Indonesia dimainkan di program realiti kita menyebabkan komposer, penulis lirik dan penyanyi Malaysia sukar mendapat pendedahan yang sama kerana ruang untuk lagu-lagu tempatan sudah semakin terhad. Jika hal ini berterusan, bakat tempatan akan semakin kurang dikenali, seterusnya menyebabkan kurangnya galakan bagi mereka untuk menghasilkan lagu-lagu baharu yang ‘menangkap’, malar segar dan boleh bersaing di pasaran.

Seterusnya, jika majoriti lagu yang dinyanyikan adalah dari Indonesia, penonton generasi muda mungkin lebih mengenali dan menghargai muzik dari negara jiran berbanding muzik tempatan. Ini boleh ‘menjatuhkan’ identiti seni muzik Malaysia apabila lagu-lagu tempatan semakin hilang tempat dalam budaya popular kita sendiri. Yang ada nanti hanyalah lagu-lagu tempatan yang penuh dengan unsur-unsur ‘keindonesiaan’.

Adakah Malaysia kekurangan artis yang layak untuk mengadili peserta? Mengapa artis Indonesia lebih diutamakan berbanding kewibawaan pakar industri tempatan? Jika fenomena ini berterusan, ia boleh menghakis kepercayaan kepada penggiat seni tempatan dan membantutkan perkembangan profesional mereka.

Justeru, program realiti tempatan perlu lebih proaktif dalam memberikan ruang kepada lagu-lagu dan artis Malaysia. Contohnya, mereka patut mengutamakan juri dan bintang tamu dari Malaysia, dengan memastikan kehadiran artis luar hanyalah sebagai elemen tambahan dan ‘pemanis’ sesebuah program semata-mata.

Seterusnya, pihak produksi juga boleh memberikan insentif kepada peserta yang memilih untuk menyanyikan lagu tempatan, agar lebih ramai yang cenderung untuk mempopularkan karya Malaysia.

Mereka juga boleh mempromosikan lebih banyak lagu-lagu Malaysia yang mungkin tidak terlalu popular dengan mengadakan cabaran khas atau minggu bertemakan lagu-lagu tempatan sahaja.

Tidak salah untuk menghargai dan meraikan muzik dari negara jiran, tetapi ia tidak boleh dilakukan dengan mengorbankan industri muzik tempatan. Cukup-cukuplah dengan ‘serangan’ tanpa henti lagu-lagu Indonesia terutaman menerusi halaman untuk anda (For You Page, FYP) di TikTok.

Penerbit rancangan realiti perlu lebih peka terhadap keseimbangan ini agar muzik Malaysia tidak terpinggir di tanah air sendiri.-UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN