DENGAN perkembangan pesat sektor ekonomi dan sosial, semakin ramai wanita mula menceburi perniagaan kecil dan sederhana untuk menambah pendapatan isi rumah.
Penyertaan wanita dalam sektor perniagaan bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia menjadi sebahagian daripada strategi kelangsungan hidup dalam komuniti.
Laporan terkini daripada agensi-agensi pembangunan keusahawanan seperti TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menunjukkan peningkatan penyertaan wanita luar bandar dalam bidang keusahawanan.
Trend ini ketara terutamanya selepas tempoh pandemik Covid-19, dengan lebih ramai wanita desa menceburi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai strategi mempelbagaikan sumber pendapatan keluarga.
Sejajar dengan trend ini, pemerhatian di kawasan luar bandar menunjukkan usahawan wanita lebih cenderung kepada bidang makanan dan tekstil. Perniagaan yang dijalankan kebanyakannya berasaskan warisan keluarga dalam bentuk jualan langsung. Pendapatan hasil perniagaan ini digunakan untuk menampung keperluan keluarga, belanja sekolah anak-anak dan keperluan asas harian.
Walaupun kebanyakan perniagaan ini telah beroperasi lebih daripada lima hingga 10 tahun, lebihan pendapatan daripada operasi sering kali tidak dapat dimanfaatkan sebagai simpanan atau pelaburan untuk masa hadapan. Hasil tinjauan mendapati kebanyakan wanita yang berniaga di luar bandar lebih menumpukan kepada kelangsungan hidup berbanding keuntungan jangka panjang.
Malah, semasa pandemik, ramai peniaga menyatakan bantuan keperluan asas daripada kerajaan mencukupi untuk mereka meneruskan kehidupan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada operasi perniagaan.
Peningkatan kesedaran terhadap kepentingan perancangan kewangan, pengiraan kos operasi, margin keuntungan dan penjanaan simpanan amat penting. Ini dapat memastikan peniaga wanita di luar bandar kekal kompetitif dalam sektor ekonomi. Selain itu, maklumat tentang peluang perkembangan perniagaan dan geran bantuan untuk peniaga kecil perlu diperluaskan kepada golongan ini agar mereka dapat menikmati agihan sokongan yang lebih adil dan menyeluruh.
Program bimbingan kewangan serta modul asas perniagaan perlu dirangka dan dilaksanakan secara berkala. Penganjuran sesi dialog bersama usahawan wanita perlu dipergiat untuk memahami cabaran yang mereka hadapi serta mengenal pasti kaedah perniagaan yang lebih sesuai. Kemahiran seperti penyediaan rekod aliran tunai, penggunaan kod QR untuk transaksi jualan, dan penggunaan sistem penghantaran dalam talian wajar diperkenalkan bagi memaksimumkan pendapatan usahawan wanita luar bandar.
Kesimpulannya, dengan usaha yang konsisten dan sokongan pelbagai pihak, wanita luar bandar mampu melangkah lebih jauh dalam dunia perniagaan. Mereka bukan sahaja berpotensi meningkatkan taraf hidup keluarga, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.-UTUSAN
DR. NORRAIDAH ABU HASAN
Pensyarah Kanan,
Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian
Profesional (iCEPS), Universiti Teknologi Mara (UiTM)









