Tugas kita elak kemalangan motosikal

Tugas kita elak kemalangan motosikal

SEMUA pihak memainkan peranan untuk menasihatkan atau melaporkan kegiatan melanggar undang-undang kepada pihak berkuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA sering melihat golongan remaja memecut laju di jalan raya, menonjolkan aksi berbahaya dan mengabaikan aspek keselamatan diri. Keasyikan mereka bergembira bersama rakan sebaya akhirnya bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah turut mengancam pengguna jalan raya lain.

Kesempatan cuti sekolah atau hujung minggu kerap kali dijadikan waktu ‘bermain’ motosikal di kawasan perumahan mahupun jalan utama. Tindakan ini tidak ubah seperti mengundang bencana, apatah lagi sekiranya motosikal tersebut diubah suai untuk menambah kelajuan.

Lebih menyedihkan, kejadian tragis seperti kemalangan yang meragut nyawa sering berlaku sebelum tiba hari raya. Ketika orang ramai bergembira membuat persiapan menyambut lebaran, ibu bapa mangsa kemalangan menanggung duka yang mendalam.

Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat signifikan. Sikap lepas tangan atau terlalu memanjakan anak-anak tidak akan membantu mengurangkan kadar kemalangan. Ibu bapa seharusnya lebih peka dengan pergerakan anak-anak, mengetahui dengan siapa mereka keluar, apa yang mereka lakukan, serta menasihati tentang tanggungjawab mematuhi peraturan. Pembentukan sikap bertanggungjawab dan disiplin mesti diterapkan sedari kecil supaya anak-anak sedar akan kepentingan keselamatan dan undang-undang.

Pihak berkuasa pula perlu bertegas dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang. Sekatan jalan raya dan operasi khas boleh diperhebatkan terutama menjelang musim perayaan, bagi memastikan remaja yang menunggang motosikal atau memandu kenderaan mempunyai dokumen sah. Kesalahan seperti menunggang tanpa lesen, tidak memakai topi keledar atau mengubah suai kenderaan harus dijatuhkan hukuman yang setimpal untuk memberi pengajaran kepada semua.

Sebagai masyarakat prihatin, kita tidak wajar hanya menuding jari kepada golongan remaja semata-mata. Peranan jiran, rakan dan komuniti setempat juga penting untuk menasihatkan atau melaporkan kegiatan berbahaya ini kepada pihak berkuasa. Usaha mendidik remaja perlu dijalankan secara kolektif dengan memperbanyakkan program kesedaran keselamatan, ceramah motivasi dan kempen-kempen di sekolah serta peringkat komuniti supaya mereka lebih faham akan kesan buruk perbuatan tidak bertanggungjawab.-UTUSAN

CIKGU MINHAT DAUD
Parit Sulong, Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN