DENGAN pelbagai usaha dijalankan bagi mewujudkan banyak tempat destinasi pelancongan, ternyata sekali Perlis sekarang tidak lagi sekadar menjadi negeri laluan pelancong, sebaliknya sudah menjadi negeri persinggahan.
Kalau suatu ketika dahulu pelancong yang memasuki Perlis hanya laluan untuk ke Pulau Langkawi atau Thailand, tetapi sekarang mereka lalu dan singgah di Perlis.
Memang tidak boleh salahkan pelancong pada masa lalu tidak singgah di Perlis kerana tidak ada apa-apa istimewa untuk mereka singgah di negeri ini.
Tetapi sekarang sudah jauh berbeza apabila banyak tempat menarik disediakan yang boleh menjadi daya tarikan pelancong untuk melihat keindahannya.
Disamping itu, banyak juga program menarik peringkat antarabangsa disusun atur untuk membawa masuk pelancong luar datang ke Perlis.
Misalnya pada 24 hingga 27 Januari ini adalah dijangka 10,000 pelawat dari kira-kira 40 buah negara seluruh dunia akan berada di negeri ini untuk menghadiri Konvensyen Sunnah Peringkat Antarabangsa.
Hotel dan inap desa habis ditempah sepanjang cuti persekolahan bulan Januari dan Februari oleh para pelancong luar untuk datang ke Perlis.
Perkembangan yang memberangsangkan ini sudah tentu akan membantu meningkatkan pendapatan rakyat Perlis sendiri termasuk para pengusaha premis makanan.
Dalam hubungan ini saya berharap setiap rakyat di negeri ini tunjukkan sikap berhemah kepada para pelancong luar tersebut bagi memastikan premis tempat tinggal dan makanan sentiasa berada dalam keadaan bersih.
Mereka tidak seharusnya mengambil kesempatan dari kedatangan pelanggan yang ramai untuk menaikkan harga jualan makanan hingga boleh mengecewakan para tetamu yang datang tersebut.
Biarlah sekali kedatangan mereka ke negeri ini timbul minat untuk datang lagi pada masa-masa akan datang.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis









