ISU salah guna sijil halal yang semakin berleluasa di negara ini terus mencetuskan polemik dan kebimbangan dalam kalangan pengguna khususnya umat Islam kerana dikhuatiri menjadi budaya perniagaan yang tidak bertanggungjawab.
Ironinya ini bukan sekadar soal kebersihan dan kualiti makanan tetapi bagi umat Islam tidak berkompromi dalam halal dan haram dalam apa jua keadaan sekalipun.
Hakikatnya kes penyalahgunaan logo dan sijil halal semakin membimbangkan apabila ada sahaja pihak yang terus degil, tidak mahu mematuhi peraturan selain tidak sensitif dengan kehendak dan keperluan majoriti pengguna iaitu umat Islam.
Harus diingat kebimbangan umat Islam tentang isu ini sangat signifikan dan ada asasnya kerana berdasarkan laporan dan pendedahan sebelum ini, sehingga Disember 2024 didapati sebanyak 56 kes penipuan logo dan pensijilan halal yang melibatkan nilai rampasan RM1.813 juta direkodkan di seluruh negara dan sudah semestinya data seperti ini meragut keyakinan pengguna Islam. Apa yang pasti budaya tidak bertanggungjawab ini perlu dihentikan segera.
Dari segi hukuman yang sedang berkuat kuasa pula, berdasarkan peraturan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, sesebuah syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta manakala untuk individu pula, denda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun.
Manakala untuk peraturan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, sesebuah syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 dan kesalahan berikut tidak lebih RM500,000. Untuk individu pula, denda tidak lebih RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berikut RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.
Selain itu, menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dalam konteks pensijilan halal Malaysia, mana-mana produk atau perkhidmatan tidak boleh diperihal halal dan ditanda dengan halal selagi mana tiada pengesahan mahupun perakuan daripada pihak berautoriti pensijilan halal Malaysia.
Memandangkan kesalahan ini masih berleluasa maka dicadangkan pihak berkuasa meneliti semula kadar denda sedia ada. Walaupun kelihatan sudah tinggi namun kekerapan berlaku kes seperti ini menunjukkan masih ada yang tidak pandang serius nilai denda tersebut maka, wujud keperluan ia dinilai semula.
Mungkin juga sudah tiba masanya diperkenalkan hukuman lain termasuk membatalkan lesen pengusaha serta merta jika didapati bersalah ketika pemeriksaan. Kita perlu memastikan mereka tutup segera operasi dan tidak terus memperdaya pengguna. Dalam hal ini sebagai pengajaran, proses rayuan untuk memohon semula lesen yang dibatalkan wajar digantung untuk suatu tempoh masa yang bersesuaian.
Pada masa sama kita juga berharap operasi penguatkuasaan oleh pihak berkuasa dilaksanakan secara lebih kerap yakni lebih berstruktur dengan jadual pemeriksaan secara berkala.
Kita memahami kemungkinan kekangan sumber manusia untuk melaksanakan operasi lebih kerap di seluruh negara namun ia satu keperluan yang sangat mendesak demi melindungi pengguna Islam.
Maka bagi meringankan beban anggota penguatkuasa yang ada, dicadangkan agar pihak berkuasa memilih, melatih dan melantik penguatkuasa sambilan berstatus sukarelawan dari kalangan pemimpin masyarakat termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh diberi kuasa dan tauliah untuk melakukan pemeriksaan di premis perniagaan. Mereka yang layak wajar diberi kuasa untuk mengeluarkan arahan penutupan operasi sehingga selesai proses penyiasatan lanjut.
Di samping itu dicadangkan kempen kesedaran dan pendidikan tentang kepentingan konsep halal yang mencakupi aspek kebersihan dan kesihatan diperbanyakkan.
Ringkasnya, para pengusaha perlu diperjelaskan kepentingan dan kelebihan memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Hal ini sangat signifikan untuk diteliti dan difahami oleh pengusaha kerana ia membabitkan soal industri halal secara menyeluruh termasuk potensi peringkat global yang turut mencerminkan reputasi dan kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal yang telah mengekalkan kedudukan di tangga pertama untuk tahun ke-10 dalam Keadaan Ekonomi Islam Global (SGIE).
Harus diingat industri halal disasarkan menyumbang 8.1 peratus bersamaan RM137.6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini dan diunjurkan meningkat kepada 10.8 peratus bersamaan RM260 bilion (2030).
PELUANG SEBAGAI PENGERUSI ASEAN
Jangan juga lupa kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN akan merancakkan lagi peluang dalam industri halal serantau. Merugikan jika pengusaha tempatan tidak mengambil peluang yang terbentang luas dalam industri ini apatah lagi terpalit pula dengan isu salah guna sijil atau logo halal.
Selain itu sebagai langkah pencegahan kita berharap pihak berkuasa boleh meningkatkan sesi libat urus dengan pemain industri makanan negara secara berkala. Ini akan membuka peluang untuk pihak industri berkongsi masalah yang mereka hadapi sekali gus membuka jalan untuk kedua-dua pihak mencari jalan penyelesaian yang menang-menang. Sesi dialog seperti ini akan membolehkan kedua-dua pihak memahami masalah masing-masing dengan lebih jelas.
Tuntasnya, polemik salah guna sijil halal perlu ditangani dan dinoktahkan dengan segera sebelum terus menjadi budaya yang sukar dikawal kelak.
Kita tidak mahu pengguna Islam semakin hilang kepercayaan selain insiden seperti ini menjejaskan kedudukan agama rasmi Persekutuan serta potensi industri halal negara.-UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Perhutanan Dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).










