Tambah baik syarat lesen perniagaan syarikat pengendali umrah

Tambah baik syarat lesen perniagaan syarikat pengendali umrah

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang meneliti dan mengkaji secara menyeluruh pelaksanaan mewajibkan syarikat-syarikat ini mempunyai jaminan bank sekurang-kurangnya RM250,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menegaskan dan mengulangi komitmen untuk melindungi kepentingan jemaah umrah Malaysia dengan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat pengendali umrah yang gagal mematuhi keperluan serta peraturan seperti mana yang ditetapkan. 

Pada peringkat ini, MOTAC sedang meneliti dan mengkaji secara menyeluruh pelaksanaan mewajibkan syarikat-syarikat ini mempunyai jaminan bank sekurang-kurangnya RM250,000. 

Diharapkan dasar yang dimuktamadkan kelak dapat dikuatkuasakan secepat mungkin. Manakala untuk pengendali berskala besar pula, jaminan bank ini akan dinaikkan mengikut saiz operasi syarikat mereka. 

Ini adalah berdasarkan kes penipuan pengguna semakin serius dan sering berlaku. Jaminan bank bagi syarikat-syarikat pengendali adalah termaktub dalam Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan di bawah Akta 482. Langkah ini bertujuan memastikan perkhidmatan yang berkualiti dan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara. Misalnya apabila berlaku penipuan, dana dari jaminan bank ini akan digunakan untuk memberi pampasan kepada mangsa yang terjejas.

Sekiranya ada syarikat yang tidak dapat memenuhi keperluan minimum ini, maka MOTAC tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen serta-merta tanpa kompromi. Sesungguhnya MOTAC kecewa kerana meskipun tindakan telah diambil terhadap pengendali yang gagal mematuhi undang-undang sebelum ini, namun masih terdapat pengendali yang terus mengabaikan tanggungjawab mereka.

Seramai 135 mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang telah hadir ke MOTAC di Putrajaya untuk mengadu tentang pengendali yang gagal menguruskan perjalanan mereka mengerjakan umrah. Ini menunjukkan isu ini tidak boleh lagi dibiarkan berlarutan. 

Sebelum ini MOTAC telah mengadakan sesi libat urus bersama wakil Persatuan Pengendali Umrah iaitu Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) serta Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji (PAPUH). 

Kementerian tiada pilihan selain bertindak tegas bagi melindungi hak dan kepentingan jemaah umrah. Kepercayaan rakyat terhadap industri umrah harus dipulihkan dan pengendali yang cuai atau tidak bertanggungjawab tidak akan diberi ruang untuk terus beroperasi. 

Kami menyeru semua pengendali umrah untuk mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan. Tindakan ini bukan sahaja untuk menjaga kepentingan rakyat tetapi juga untuk memastikan integriti dan kredibiliti industri umrah di Malaysia terus kekal diyakini.-UTUSAN

 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN