Rejab: Menelusuri yang jitu, meluruskan yang keliru

Rejab: Menelusuri yang jitu, meluruskan yang keliru

SEMOGA amalan Rejab menjadi pemangkin untuk setiap daripada kita meneruskan amalan ibadat harian dan ditambah baik dengan amalan sunah yang digalakkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali menjelangnya bulan Rejab dan Syaaban, setiap kali itu berkemundang polemik sehingga mencetuskan ‘perang’ media dan beraneka persepsi mengenai keistimewaan dan kelebihan setiap amal ibadat di bulan tersebut. Wujud pandangan yang meyakini bahawa setiap amal ibadat di bulan mulia ini menjanjikan ganjaran pahala terbesar dan anugerah syurga terpuji sehingga mendorong setiap individu Muslim berlumba-lumba meraih pahala.

Sekalipun, Rasulullah SAW menegaskan Rejab merupakan salah satu bulan haram yang membawa maksud bulan suci dan mulia, namun ia tidak mengurangkan perspektif tersebut dan semakin membarah.

Kewujudan persepsi yang berbeza ini telah menatijahkan momokan amalan di bulan Rejab adalah sia-sia kerana hadis yang menekankan keistimewaan Rejab hanya bersandarkan pandangan ulama dikatakan sebagai pendusta dan pereka hadis, sementelah pandangan yang meyakini istimewanya bulan mulia ini turut berteraskan hadis yang diyakini sahih.

Kita boleh rumuskan hadis yang memperlihatkan Nabi SAW melarang umatnya berpuasa di bulan Rejab bukanlah satu yang bersifat mutlak. Bahkan ia turut bertentangan dengan anjuran berpuasa sunat sepanjang bulan Hijrah yang amat digalakkan.

Adalah lebih baik dan indah bagi seluruh umat Muslim meneruskan amalan harian meliputi ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah, berselawat dan lain-lain kebaikan sepanjang bulan Hijrah termasuklah juga bulan haram serta suci seperti Rejab, Syaaban dan lebih utama lagi bulan Ramadan tanpa terlibat dengan sebarang konflik pendapat yang hanya mengurangkan tumpuan untuk terus melaksanakan ibadat.

Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk setiap kita mendahagakan anugerah nikmat Allah meneruskan amalan ibadat harian dan ditambah baik dengan amalan sunah yang digalakkan. Pada asasnya, hakikat hikmah Rejab ini sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian dan kejernihan hati serta minda kita.

Ikhlas, mulus dan teluskan diri dalam melaksanakan amalan. Pastinya sinar keagungan dan keistimewaan bulan Rejab, mahupun Syaaban, seterusnya Ramadan menjadi milik kita.-UTUSAN

PROFESOR. DR. KHADIJAH MOHD KHAMBALI @ HAMBALI
Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN