SUDAH tiba masanya pemimpin Pas, terutamanya daripada sayap pemuda parti tersebut, berhenti menjadikan perayaan Krismas sebagai senjata politik bagi memecahbelahkan masyarakat setelah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengakui sambutan Krismas adalah ‘sebahagian penting budaya besar Malaysia’.
Demi memelihara keharmonian dan kemajmukan masyarakat Malaysia, saya menggesa Naib Ketua Pemuda Pas, Muhammad Hanif memahami ucapan Krismas Setiausaha Agung Pas baru-baru ini. Bahkan Takiyuddin turut merujuk kepada persamaan latar belakang agama Ibrahimiyyah antara Islam dan Kristian sebagai kekuatan untuk melahirkan negara yang lebih baik.
Seperti yang beliau nyatakan, Agama Kristian merupakan agama ketiga terbesar di Malaysia. Ia dianuti oleh pelbagai etnik bukan Melayu termasuklah bumiputera dari Sabah dan Sarawak. Ini termasuklah barisan penjawat awam di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang terdiri dari pelbagai latar belakang dan agama.
Adakah Naib Ketua Pemuda Pas beranggapan bahawa penganut agama Kristian termasuklah Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dan penjawat awam di kementerian itu tidak berhak meraikan hari perayaan mereka dengan cara yang muhibah dan majmuk?
Sebagai pemimpin muda, Muhammad Hanif perlulah menjadi contoh teladan yang baik kepada anak muda Malaysia dalam meraikan kepelbagaian agama dan budaya di negara Malaysia, bukannya menjadi ejen perpecahan yang menggunakan agama sebagai mainan politik murahan.-UTUSAN
ISKANDAR FAREEZ
Naib Ketua Pemuda Sosialis
DAP (DAPSY) Kebangsaan










