Perlu ada pemindahan ilmu, teknologi kawal banjir

Perlu ada pemindahan ilmu, teknologi kawal banjir

SISTEM terowong SMART boleh dibangunkan di bandar-bandar besar seperti di Johor Bahru dan Kota Bharu, Kelantan yang sering diancam banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Banyak tindakan mitigasi untuk mengawal banjir telah dilaksanakan sebenarnya, namun, masalah berkenaan masih melanda seperti tiada penghujungnya.

Kedudukan Belanda yang rendah membawa ancaman banjir kepada negara itu dan menjadikannya negara paling moden dari segi pengurusan banjir. Sistem kawalan banjirnya, Delta Works merangkumi rangkaian empangan, pintu air dan tambak yang mengawal aliran air dari laut utara ke kawasan darat. Pintu air dibina untuk melindungi kawasan daripada kenaikan paras air ketika ribut melanda. Keberkesanan Delta Works menjadikannya sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia moden oleh Persatuan Jurutera Awam Amerika.

Selain itu teknologi mereka juga berupaya mengawal air sungai yang melimpah dengan menambah kawasan tadahan air. Di samping itu, Belanda juga mengelakkan sebarang pembinaan di kawasan rendah dan pesisir pantai selain mengadakan pelbagai program pendidikan serta kesedaran awam untuk warganya.

Di Jepun pula, teknologi terkininya membantu menangani banjir yang sering hadir bersama-sama taufan dan hujan lebat. Projek G-Cans atau Greater Tokyo Drainage System merupakan rangkaian terowong bawah tanah yang besar dengan kolam takungan untuk menyalurkan air hujan dari kawasan bandar ke sungai. Kolam takungan ini mampu menampung 670,000 meter padu air dalam satu-satu masa. Empangan juga dibina untuk mengawal aliran sungai dan kolam takungan bagi membantu mengawal limpahan air ketika hujan lebat.

Selain itu, sistem amaran awal di Jepun juga sangat maju. Mereka menggunakan radar dan teknologi satelit untuk memantau cuaca supaya dapat memberi amaran awal banjir kepada penduduknya. Keberkesanan ini menjadikan Tokyo, salah sebuah bandar raya paling padat populasinya di dunia berjaya mengelakkan banjir besar yang sering mengancam bandar- bandar urban lain.

Daripada pengalaman Belanda dan Jepun, mungkin kita boleh memperbaiki teknologi empangan, terowong dan tambak sedia ada di negara ini. Memang sudah ada pelbagai langkah mitigasi banjir yang dilaksanakan dan berkesan di Malaysia namun masih boleh ditambahbaik.
Sistem terowong SMART misalnya mungkin boleh dibangunkan di bandar-bandar besar seperti di Johor Bahru dan Kota Bharu, Kelantan yang sering diancam banjir.

Sementara kapasiti empangan dan kolam takungan di kawasan berisiko tinggi perlu ditingkatkan seperti di Sungai Kelantan dan Sungai Pahang. Kawasan-kawasan paya bakau dan hutan bakau perlu dipulihara terutama di pantai barat dan pantai timur.

Sistem amaran awal juga boleh diperluas dengan menggunakan teknologi khusus untuk memberi amaran yang sangat cepat. Pendidikan kesedaran banjir pula boleh dilaksanakan dengan lebih sistematik dan bersasar misalnya di sekolah-sekolah di kawasan yang sering dilanda banjir.
Kesemua cadangan ini akan mampu dilaksanakan andai ada kerjasama daripada pihak kerajaan, swasta dan masyarakat setempat serta mempunyai dana yang mencukupi.-UTUSAN

DR. SITI SURIANI OTHMAN
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN