Jangan biar pelajar ‘lolos’ SPM

Jangan biar pelajar ‘lolos’ SPM

Pendidikan wajib 11 tahun dapat mengelak berlakunya keciciran pelajar dan ketidakhadiran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehadiran pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan akademik dan masa depan mereka. Namun, peningkatan kadar ketidakhadiran pelajar dalam peperiksaan ini menjadi isu yang membimbangkan.

Ketidakhadiran ini boleh memberi kesan buruk kepada pencapaian pendidikan, peluang kerjaya dan pembangunan ekonomi negara. Dalam usaha menangani isu ini, sokongan menyeluruh daripada pelbagai pihak termasuk sekolah, keluarga dan masyarakat amat penting.

Ketidakhadiran boleh membawa pelbagai kesan negatif yang memberi impak kepada pelajar, institusi pendidikan dan masyarakat secara keseluruhan.

Antaranya, ia boleh menjejaskan prestasi akademik. Pelajar kehilangan peluang untuk mencapai keputusan yang baik, yang seterusnya menyukarkan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Hal ini menjejaskan potensi untuk mencapai aspirasi pendidikan dan kerjaya.

Ketidakhadiran dalam peperiksaan juga boleh menyebabkan pelajar mengalami tekanan emosi, termasuk rasa rendah diri dan perasaan terasing daripada rakan sebaya. Dalam jangka masa panjang, tekanan ini berpotensi mencetuskan masalah kesihatan mental yang lebih serius, seperti kebimbangan kronik atau kemurungan.

Bahkan, tindakan mereka ini menyumbang kepada pembentukan generasi yang kurang berpendidikan. Situasi ini memberi kesan negatif kepada pembangunan ekonomi negara, memandangkan kekurangan kelayakan akademik minimum mengehadkan peluang pekerjaan. Akibatnya, kadar pengangguran dalam kalangan belia mungkin meningkat, yang seterusnya menjejaskan produktiviti masyarakat.

Selain itu, sekolah yang mencatat kadar kehadiran peperiksaan yang rendah berisiko hilang kepercayaan masyarakat. Persepsi negatif ini boleh memberi kesan kepada reputasi sekolah, yang akhirnya mempengaruhi enrolmen pelajar baharu dan sokongan komuniti terhadap institusi tersebut.

Oleh itu, pendekatan menyeluruh dan kolaboratif diperlukan untuk menangani isu ketidakhadiran pelajar dalam peperiksaan SPM. Strategi berikut menggariskan langkah-langkah komprehensif yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Antaranya, pelaksanaan ceramah, bengkel dan sesi kaunseling bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar serta ibu bapa tentang kepentingan kehadiran dalam peperiksaan. Ia juga boleh diperhebatkan dengan penyebaran maklumat yang jelas mengenai implikasi ketidakhadiran terhadap peluang pendidikan dan kerjaya masa depan pelajar.

Pihak sekolah boleh menyediakan perkhidmatan kaunseling dengan melibatkan kaunselor terlatih untuk membantu pelajar menangani tekanan psikologi dan kebimbangan. Sesi terapi boleh juga dilakukan secara kumpulan untuk memberikan sokongan emosi kepada pelajar yang memerlukan.

Memberikan bantuan kewangan kepada pelajar yang menghadapi kekangan ekonomi, mewujudkan dana khas atau bekerjasama dengan organisasi luar penting bagi memastikan bantuan kewangan dapat disalurkan dengan berkesan.

Selain itu, penglibatan keluarga, program mentor mentee, pembangunan kemahiran, modul khas perlu dirancang untuk membantu pelajar mengatasi cabaran akademik dengan lebih berkesan.-UTUSAN

JERINA IBRAHIM
Jabatan Perdagangan, Politeknik Nilai

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN