IKAN susu, atau nama saintifiknya Chanos chanos, merupakan spesies akuakultur yang semakin mendapat perhatian sebagai alternatif sumber ikan berkhasiat di Malaysia. Dikenali sebagai Bangus di Filipina dan Bandeng atau Bolu di Indonesia, ikan ini bukan sahaja digemari kerana rasa isinya yang lemak dan lembut, tetapi juga kerana kandungan nutriennya yang tinggi. Ikan susu adalah sumber protein berkualiti tinggi serta kaya dengan Vitamin A, B12, B6, B-Complex, dan Omega-3.
Nutrien-nutrien ini menjadikannya pilihan makanan yang baik untuk kesihatan, membantu mengekalkan kekuatan tulang, mengurangkan keradangan serta menyokong fungsi hati dan buah pinggang. Kandungan astaxanthin, yang merupakan antioksidan semula jadi dan protein yang tinggi dalam ikan susu juga memberi manfaat dalam menyokong penurunan berat badan.
Sebagai bahan masakan, ikan susu amat versatil dan boleh diolah menjadi pelbagai hidangan seperti laksa ikan susu, asam pedas, ikan salai, goreng berlada, bakar, kukus, dan pais. Dengan kelebihan ini, ikan susu berpotensi menjadi pilihan utama dalam menu rakyat Malaysia.
Statistik terkini menunjukkan pengeluaran ikan susu pada 2024 mencapai 4,204 tan metrik, dengan nilai borong sebanyak RM37.08 juta. Prestasi ini menunjukkan kesinambungan peranan ikan susu sebagai salah satu spesies yang menyumbang kepada industri perikanan negara.
Kedah terus menjadi penyumbang utama dengan pengeluaran tertinggi sebanyak 3,700 tan metrik, diikuti oleh Johor 454.97 tan metrik dan Sabah 46.51 tan metrik. Peningkatan dalam nilai pasaran juga mencerminkan potensi ikan susu untuk terus memenuhi permintaan dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.
Ikan susu terkenal sebagai spesies yang mudah diternak, dengan kos operasi yang rendah kerana hanya memerlukan makanan berprotein rendah serta daya tahan penyakit yang tinggi. Sifat ini menjadikannya pilihan ekonomi yang berdaya maju untuk penternak tempatan.
Jabatan Perikanan terus menyokong industri ini dengan mempromosikan teknologi penternakan ikan susu yang cekap seperti sistem kolam dan sangkar.
Dengan kerjasama strategik antara pihak kerajaan dan swasta, pengeluaran ikan susu dijangka terus meningkat, menyumbang kepada kestabilan industri akuakultur dan memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Selain menjadi sumber protein untuk manusia, ikan susu juga diiktiraf sebagai alternatif bahan makanan ternakan, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada sumber import. Ini menjadikannya pilihan yang strategik dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
Jabatan Perikanan menyeru rakyat Malaysia untuk memilih ikan susu sebagai sebahagian daripada sajian harian mereka. Langkah ini bukan sahaja menyokong industri akuakultur tempatan tetapi juga mengurangkan kebergantungan kepada perikanan tangkapan, yang semakin terjejas akibat perubahan iklim dan penurunan sumber marin. Dengan manfaat kesihatan yang tinggi, kepelbagaian dalam penyediaan makanan dan potensi ekonomi yang besar, ikan susu berupaya memainkan peranan penting dalam menjamin bekalan protein negara. Sokongan rakyat terhadap ikan susu diharap dapat memperkukuh sektor akuakultur tempatan, meningkatkan kemandirian makanan serta menyumbang kepada pembangunan industri perikanan yang mampan dan berdaya saing.-UTUSAN
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Jabatan Perikanan









