Gencatan senjata peluang bina semula Gaza

Gencatan senjata peluang bina semula Gaza

PROSES pemulihan Gaza memerlukan pelaburan besar untuk menyediakan pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTUBUHAN IKRAM Malaysia (IKRAM) menyambut baik persetujuan gencatan senjata antara Hamas dan Israel selepas lebih 15 bulan genosid yang meragut lebih 46,000 nyawa sejak 7 Oktober 2023.

Walaupun ini membawa sedikit kelegaan, ia hanyalah jeda sementara yang tidak akan mengembalikan nyawa yang hilang atau memulihkan kemusnahan mendalam di Gaza.

Konflik ini menghancurkan infrastruktur, ekonomi dan masyarakat Gaza termasuk kehilangan pendidik, petugas perubatan dan tenaga profesional lain yang penting untuk pembinaan semula wilayah tersebut. 

Gencatan senjata kali ini, yang membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan pertukaran tahanan, hanyalah langkah awal untuk pemulihan, tetapi keamanan sementara ini tidak menggantikan hak asasi rakyat Palestin untuk hidup bebas tanpa ketakutan dan sekatan. Kebebasan rakyat Palestin masih harus diperjuangkan. 

Justeru, IKRAM ingin menegaskan gencatan senjata ini tidak membawa kepada penyelesaian sebenar terhadap punca utama konflik, iaitu penjajahan dan sekatan yang tidak berkesudahan ke atas Gaza dan rakyat Palestin. Keperluan untuk mempertanggungjawabkan Israel dan pihak-pihak yang terlibat dalam penindasan ini masih perlu diteruskan.

Walaupun terdapat badan-badan antarabangsa seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang diwujudkan untuk menangani jenayah terhadap kemanusiaan, kegagalan institusi-institusi ini untuk bertindak tegas terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh Israel menunjukkan kelemahan mereka dalam menegakkan keadilan.

IKRAM menggesa agar Israel dan sekutunya, terutamanya Amerika Syarikat (AS) dibawa ke mahkamah untuk bertanggungjawab atas kezaliman yang telah mereka lakukan. Keputusan-keputusan seperti pemindahan kedutaan AS ke Baitulmaqdis, pengiktirafan Bukit Golan sebagai sebahagian Israel dan pengurangan dana untuk Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) telah memburukkan keadaan. Kegagalan badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan BRICS untuk bertindak segera mencerminkan ketidakupayaan mereka melindungi rakyat Gaza.

IKRAM menyeru kerajaan dan rakyat Malaysia untuk terus menyokong pembinaan semula Gaza. Proses pemulihan memerlukan pelaburan besar untuk menyediakan pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan. 

Keprihatinan ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab moral, tetapi juga satu bentuk solidariti kemanusiaan yang harus diterjemahkan melalui tindakan nyata dan berterusan.

Keadilan sebenar memerlukan lebih daripada sekadar penghentian keganasan tetapi memerlukan kebebasan, maruah dan keamanan yang lestari. Tanpa keadilan, pembinaan semula hanya menjadi usaha kelangsungan hidup tanpa harapan.-UTUSAN

BADLISHAH SHAM BAHARIN

Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN