SEMASA sesi perkongsian bersama mahasiswa dan mahasiswi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak berkaitan dengan apa yang boleh dipelajari daripada generasi terdahulu dalam membina keilmuan, ia berkait rapat dengan nilai ilmu yang dijunjung tinggi, pengamalannya dan juga faktor kebijaksanaan pemerintah.
Sultan Andalus pertama iaitu Abd al-Rahman Muawiyah al-Dakhil menjadikan pembangunan ilmu sebagai langkah pertama membangunkan Andalusia. Bermula dengan pembinaan masjid pada 786H seterusnya membina perpustakaan yang besar dengan hartanya sendiri.
Manakala, menurut Stanley Poole, al-Hakam memiliki lebih 400,000 buah buku dan kesemua koleksi tersebut hasil tulisan tangan dan dikatakan kesemua koleksi ini dibaca oleh sultan. Al-Hakam juga dikatakan sultan pertama membina universiti di Andalusia, malah menjadi penaung membiayai kegiatan ramai sarjana dan saintis Andalusia.
Para sultan juga begitu akrab dengan ulama, yang secara langsung mencerminkan keunggulan tradisi keilmuan Islam yang dapat dilihat menerusi contoh Ibnu Khaldun yang telah mempersembahkan karyanya, Al-Ibar sebanyak tujuh jilid kepada Sultan Zahir Barquq di Mesir dan Sultan Abu Faris di Fez.
Justeru, budaya mengutamakan aspek pembangunan pendidikan, mencintai ilmu dan kepedulian yang tinggi dalam kalangan pemerintah terhadap ilmu dan ilmuwan ini, memberikan kita sebuah gambaran iklim keintelektualan yang tinggi di Andalusia.
Jika pemerintah gagal memperjuangkan makna pendidikan sebenar dan tidak berlaku adil dalam mengemudi hala tuju pendidikan, maka ia akan merencatkan pembinaan potensi manusia yang unggul dan lebih malang manusia hilang pedoman tentang makna dirinya dan Tuhannya.
Hal ini kerana, menerusi jalan pendidikanlah yang akan membentuk pandangan alam manusia.
Pemerintah yang bijak dan adil tidak akan sewenang-wenangnya terpedaya dengan rancangan jahat musuh yang ingin menghancurkan jalan pendidikan wahyu. Apatah lagi, sehingga terjerumus menjadi sebahagian proksi yang menjayakan agenda diabolisme intelektual. – UTUSAN
NUR IRDINA HAKIMAH NORAZALI
Jawatankuasa Kajian dan Strategik
Pembina Malaysia










