KEMALANGAN melibatkan kenderaan berat di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) berhampiran Bukit Tinggi di Bentong, Pahang menghala ke arah timur seakan tiada kesudahan. Malah kerap berlaku sejak lebuh raya ini dibuka pada hujung 1970-an lagi.
Keadaan lebuh raya berbukit tinggi, laluan curam dan bengkang bengkok bahaya kepada kenderaan besar yang membawa beban berat. Sekiranya keadaan brek kenderaan tidak begitu baik ditambah keadaan jalan licin, sudah tentu boleh mengundang bahaya kepada kenderaan besar.
Pada November 2021, saya menulis mengenai isu yang sama dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia. Saya cadangkan supaya Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak konsesi lebuh raya mengkaji Zon Penampan Kemalangan membolehkan kenderaan berat yang mengalami kegagalan brek dapat dihalakan ke lorong zon penampan di sebelah kiri lebuh raya.
Sekiranya cara ini tidak begitu sesuai disebabkan keadaan muka bumi yang berlurah maka LLM dan konsesi mungkin mencari kaedah lain antaranya membina laluan khas untuk kenderaan berat bermula dari Terowong Genting Sempah dengan melencongkan ke arah lain bagi mengelakkan melalui jalan sedia ada yang sangat curam.
Sesuai dengan keputusan kerajaan baru-baru ini seperti di bentangkan di Persidangan Parlimen pada November lalu, kerajaan akan menaik taraf KLK yang di jangka bermula awal 2025 dan siap pada 2029. Maka kajian serta reka bentuk sepatutnya mengambil kira aspek-aspek dan reka bentuk yang sesuai.
Dalam tempoh empat tahun lebih kerja menaik taraf, sudah pasti keselesaan pengguna lebuh raya akan terganggu dan mungkin berlaku kesesakan serius.
Maka, elok sekiranya pengguna lebuh raya KLK ini mencari jalan alternatif untuk ke Pantai Timur, antaranya Jalan Kuala Kubu Baru-Fraser Hill-Raub, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas)-Kuala Pilah-Bahau-Temerloh, Lekas-Bahau-Segamat-Muadzam-Kuantan, jalan lama Gombak-Bentong.
Dalam masa yang sama, pihak JKR perlulah menambah baik jalan-jalan berkenaan kerana mungkin menjadi jalan alternatif untuk tempoh lima tahun sehingga kerja naik taraf KLK siap. – UTUSAN
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur










