Tangkis ideologi ekstremis

Tangkis ideologi ekstremis

KAEDAH memerangi ajaran sesat hendaklah berdasarkan seruan dakwah yang baik dan dengan penuh hikmah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENILAI dan meneliti setiap sesuatu kumpulan atau figura yang diikuti adakah di landasan yang benar atau sebaliknya adalah sangat perlu agar seseorang itu tidak terjebak dalam kancah kesesatan.

Seseorang itu perlu menyedari perkumpulan atau figura itu tentunya tidak mengubah, meminda, atau menafikan keaslian al-Quran atau menokok tambah sesuatu bagi kepentingan peribadi. Tidak dinafikan, terdapat juga unsur-unsur mengingkari ajaran Nabi SWT dengan menolak ajaran baginda, menyalahkan keluarga juga para sahabat.

Paling ditakuti mereka bersembunyi di sebalik al-Quran dan hadis iaitu berselindung untuk mengelirukan manusia tentang perkara ghaib.

Dalam pada itu, sesuatu kumpulan dengan mudah mengeksploitasi pengikutnya bagi merealisasikan kehendaknya. Ideologi tersebut seterusnya akan mengeksploitasi pengikutnya seperti menyerahkan wang, harta benda, dan juga diri mereka sendiri.

Tidak terkecuali, mengaku diri mereka sebagai Imam Mahdi dengan membandingkan ciri-ciri mereka dengan ciri-ciri Imam Mahdi.

Walaupun beberapa faktor keterlaluan berpunca daripada diri seseorang itu sendiri; seperti ideologi, sombong, melulu, tidak bertanya kepada orang yang berilmu, suka memberontak dan berbeza pendapat.

Tidak terkecuali, sesuatu itu juga berpunca daripada sikap luaran seseorang, kerana tekanan, situasi yang dialami, masalah yang dihadapi seperti tidak berpuas hati atau putus asa, kezaliman, kekejaman, ketidak adilan hinggakan mereka memutuskan untuk melarikan diri dengan menjebakkan kepada ekstremisme di bawah ilusi bahawa ia adalah penyelesaian kepada apa yang mereka lihat dan derita itu.

Kepercayaan yang berlebihan terhadap status nabi dan wali menyebabkan umat terdahulu terjerumus ke dalam syirik, menyembah patung-patung, meminta pertolongan dan makanan, mengusap kubur, bertawaf, berpaut pada tirai makam, hinggakan perbuatan syirik tersebut, menyimpang dari lingkaran tauhid yang murni ke dalam lipatan khurafat, karut dan khayalan kosong.

Kaedah memerangi ajaran sesat hendaklah berdasarkan seruan dakwah yang baik dan dengan penuh hikmah. Seseorang itu perlu sedar akan nuansa dalam mengatur ketetapan tentang perbuatan manusia, terutama dalam persoalan akidah, ibadah, dan isu-isu kekufuran apalagi keimanan.

Apa yang dituntut daripadanya ialah mempersiapkan jiwa-jiwa untuk menerima nasihat dan pembaikan, tidak menghadapi mereka dengan persaingan mahupun cabaran.

Tentunya, ajaran sesat ini tidak boleh dipandang remeh, apalagi membiarkan ‘jenayah’ ini berleluasa. Perlakuan yang salah adalah seperti minyak yang dicurahkan ke dalam api dan yang pasti terdapat cara menanganinya dengan lebih berhati-hati serta berstrategi seperti memberikan nasihat, motivasi, bengkel pemulihan dan lain-lainnya.

Justeru, inilah waktunya untuk semua organisasi Islam bersatu mengisytiharkan dengan kebenaran, keikhlasan dan kepercayaan bahawa Islam bukanlah hak eksklusif atau tidak terhad kepada mana-mana kumpulan, mazhab, parti atau kaum, sebaliknya ia adalah agama Allah yang kekal untuk semua manusia.-UTUSAN

ATRIZA UMAR
Pegawai Kanan
Jabatan pendidikan Masyarakat IKRAM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN