KUALA LUMPUR: Seorang pegawai bank memberitahu, wang berjumlah RM8 juta telah dipindahkan daripada akaun FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) kepada 30 Maple Sdn. Bhd. (30 Maple) dalam dua transaksi pada hari sama di Ogos 2018.
Menurut Pengurus Khidmat Pelanggan CIMB Bank Cawangan Taman Tun Dr. Ismail, Azizan Hassan, 45, kira-kira dua minggu selepas itu, sebanyak RM10,213,537.28 telah dikeluarkan daripada akaun CIMB 30 Maple.
FashionValet merupakan platform e-dagang fesyen manakala 30 Maple juga sebuah syarikat e-dagang yang popular dengan tudung jenama dUCK. Kedua-dua syarikat diasaskan oleh Datuk Fadzarudin Shah Anuar dan isterinya, Datin Vivy Sofinas Yusof.
“Pada 21 Ogos 2018 terdapat satu transaksi kemasukan wang berjumlah RM5 juta dengan deskripsi PAYMENT FASHION VALET SDN. BHD. ADVANCES TO 30 MAPLE daripada Fashion Valet Sdn. Bhd. Saya juga sahkan baki (akaun 30 Maple) sebelum kemasukan wang adalah RM2,678,853.48.
“Pada tarikh sama, telah berlaku satu (lagi) transaksi kemasukan wang sebanyak RM3 juta dengan deskripsi PAYMENT FASHION VALET SDN. BHD. ADVANCES TO 30 MAPLE daripada Fashion Valet Sdn. Bhd. Saya juga sahkan baki sebelum kemasukan wang berjumlah RM3 juta adalah RM7,678,853.48.
“Pada 3 September 2018, telah berlaku satu transaksi pengeluaran wang sebanyak RM10,213,537.28. Saya juga sahkan baki (akaun 30 Maple) selepas pengeluaran wang berjumlah RM10,213,537.28 adalah RM75,087.59,” katanya sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry dan Haresh Prakash Somiah.
Tambah saksi pendakwaan pertama itu, kesemua transaksi berkenaan dijalankan secara dalam talian.
Saksi itu berkata demikian dalam perbicaraan hari pertama kes Vivy dan Fadzarudin didakwa melakukan pemindahan dana pelaburan Khazanah dan PNB sebanyak RM8 juta dari akaun bank FashionValet kepada syarikat 30 Maple tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah platform e-dagang berkenaan.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.
Pasangan itu juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan menyalahgunakan harta milik syarikat Fashion Valet iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, saksi berkenaan mengesahkan penandatangan bagi 30 Maple ialah Vivy dan Fadzarudin selaku pengarah syarikat.
Azizan kemudian memberitahu, pada 3 September 2018, terdapat satu lagi kemasukan wang sebanyak RM5 juta ke dalam akaun CIMB 30 Maple melalui transaksi dalam talian dan jumlah sama telah dikeluarkan pada keesokan harinya, juga melalui transaksi serupa.
“Pada 3 September 2018, telah berlaku satu transaksi kemasukan wang dimana jumlah sebanyak RM5 juta dengan deskripsi CREDIT ADV RENTAS RTN-PIBEMYK1 BENE NAME DIFFE. Saya sahkan baki sebelum kemasukan wang berjumlah RM5,000,000 adalah RM75,083.59.
“Pada 4 September 2018, telah berlaku satu transaksi pengeluaran wang sebanyak RM5,000,000 dengan deskripsi Interim Dividend FADZARUDIN SHAH BIN. Saya sahkan baki selepas pengeluaran wang berjumlah RM5 juta adalah RM6,541.29,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung Jumaat ini. – UTUSAN










