KUALA LUMPUR: Pengesahan daripada syarikat audit bertaraf dunia tidak boleh dijadikan jaminan bahawa sesuatu pelaburan bebas daripada risiko penipuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, perkara itu susulan kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.
Beliau berkata, proses membuat keputusan pelaburan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pengesahan syarikat audit, sebaliknya perlu mengambil kira penilaian mengikut peraturan ditetapkan.
“Walau bagaimanapun, saya setuju bahawa kerugian itu harus memberikan kita peringatan. Tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia menjamin sesuatu pelaburan bebas daripada risiko. Kalau kita lihat, dari Eropah, Jepun dan dari semua, itu harus mempengaruhi kita.
“Tentunya penglibatan SoftBank serta pihak dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Eropah turut diberikan pertimbangan. Tapi kalau kita lihat, mencerakin proses serta urutan kelulusan di Indonesia, ia memang menunjukkan satu kecanggihan yang luar biasa,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman di Dewan Negara hari ini.
Abdul Halim bertanyakan kerugian pelaburan KWAP dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pelaburan dalam eFishery sebelum ini turut mendapat pengesahan daripada tiga syarikat audit terbesar dunia, namun ia akhirnya didapati membabitkan penipuan.
“Dua firma audit bertauliah telah meluluskan, manakala firma ketiga turut memberikan kelulusan, tetapi pengesahan belum sempat dibuat. Pelaburan ini telah mendapat kelulusan daripada tiga syarikat audit terbesar dunia.
“Apabila saya meneliti perkara ini, penipuan dari Jakarta itu dilakukan dengan kepakaran yang luar biasa. Ini menjadi pengajaran bahawa pengesahan oleh syarikat audit terkenal dunia sekalipun tidak menjamin apa-apa,” katanya.
Menurut Anwar, pengalaman skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) turut membuktikan penglibatan syarikat kewangan dan audit terkenal dunia tidak menjamin sesuatu pelaburan bebas daripada penyelewengan.
“Kalau kita ambil pengalaman 1MDB, itu ada penglibatan Goldman Sachs, syarikat kewangan dan audit terkenal dunia. Tapi terlibat, bersubahat dalam usaha penipuan ini.
“Ini pengajaran, peringatan kepada kita. Tak bergantung kepada syarikat audit, sukar untuk dapat kelulusan. Bergantung sepenuhnya, kita lihat ada juga risiko,” katanya.
Tambah beliau, situasi itu menyebabkan panel pelaburan kini berdepan cabaran untuk tidak hanya bergantung kepada kepakaran audit antarabangsa, sebaliknya turut menilai sesuatu pelaburan berdasarkan peraturan ditetapkan.
“Jadi maknanya panel pelaburan itu sekarang ini tercabar untuk bergantung sebahagiannya kepada kepakaran audit dunia. Tetapi harus juga melihat dari segi nilai peraturan kita.
“Sebab itu kalau Madani ini kita sebut kepintaran, kepakaran, new technology, menggapai di langit itu perlu. Tetapi mesti berakar ke bumi dengan nilai dan akhlak,” katanya. – UTUSAN










