KEMAHIRAN belajar adalah aspek yang amat penting dalam mencapai kejayaan akademik, terutamanya dalam subjek Sejarah. Pelajar yang mahir dalam kemahiran ini bukan sahaja dapat menguasai ilmu, tetapi juga dapat membina keperibadian yang mantap.
Kemahiran pertama yang perlu ada dalam setiap pelajar adalah tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran guru. Di dalam kelas, pelajar harus mendengar dengan teliti, mengikut aliran pengajaran dan tidak teralih perhatian. Selain itu, keupayaan untuk mengambil bahagian dalam perbincangan dan bertanya soalan yang relevan akan mempertingkatkan pemahaman serta membantu pelajar mengaitkan pengetahuan yang diajar dengan konsep yang lebih luas.
Sikap aktif ini bukan sahaja memudahkan pemahaman tentang fakta sejarah, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk lebih terlibat dalam proses pembelajaran. Sebagai contoh, apabila pelajar bertanya soalan atau memberikan pandangan, mereka dapat memperkaya pengalaman pembelajaran dan membantu rakan sekelas yang lain. Ini memperlihatkan pembelajaran yang dinamik dan melibatkan interaksi antara guru dan pelajar.
Komunikasi yang baik akan memastikan pelajar dapat menyampaikan idea dengan berkesan serta mendengar pandangan orang lain dengan penuh perhatian. Maklum balas yang konstruktif boleh meningkatkan pengalaman pembelajaran dan ini amat penting dalam subjek seperti Sejarah, yang mana perkongsian pandangan dapat memberi pemahaman yang lebih mendalam mengenai sesuatu peristiwa atau topik sejarah.
Mengambil nota adalah kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh setiap pelajar. Nota yang baik haruslah ringkas namun padat dengan maklumat penting. Teknik seperti menulis kata kunci atau menggunakan simbol dapat membantu pelajar mengingat maklumat dengan lebih mudah.
Penggunaan peta minda adalah satu teknik yang sangat berkesan untuk menyusun idea secara visual. Peta minda membantu pelajar menghubungkan antara konsep utama dan subtopik yang berkaitan dalam satu gambaran yang jelas.
Dengan peta minda, pelajar dapat melihat keseluruhan struktur maklumat yang dipelajari, membuatkan mereka lebih mudah untuk memahami dan mengingatnya. Peta minda juga membantu dalam membentuk pemikiran kritikal kerana melibatkan analisis dan organisasi maklumat secara teratur.
Pelajar perlu merancang jadual belajar yang seimbang antara akademik dan aktiviti lain, termasuk waktu rehat dan tidur yang mencukupi, agar pelajar dapat mengelakkan tekanan pada saat akhir dan tidak terburu-buru dalam membuat persediaan untuk peperiksaan. Pelajar yang bijak menguruskan masa mereka akan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran dan memperoleh hasil yang lebih baik.
Akhir sekali, pelajar perlu membuat kajian mengenai pusat pengajian tinggi, kerjaya dan suri teladan untuk memberi motivasi kepada diri mereka. Mengetahui laluan pendidikan dan kerjaya yang sesuai dapat memberi pelajar arah tuju yang jelas.
Mengikuti perjalanan hidup suri teladan yang berjaya dalam bidang sejarah atau akademik juga boleh memberi inspirasi kepada pelajar untuk mencapai kejayaan. Suri teladan boleh memberi pelajar keyakinan dan motivasi, terutamanya apabila melihat dedikasi dan usaha yang dicurahkan oleh individu tersebut untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang diminati.
Kemahiran belajar yang betul bukan sahaja membantu mereka menguasai subjek Sejarah dengan lebih baik, tetapi juga membina kemahiran berfikir yang kritikal, kreatif dan analitikal yang berguna dalam kehidupan seharian. – UTUSAN
NOR AZIRAH A.R
SMK Dengkil, Selangor










