Orang muda perlu ada kesedaran pengurusan kewangan

Orang muda perlu ada kesedaran pengurusan kewangan

KESEDARAN kewangan yang tinggi dapat membantu golongan muda mengurus kewangan dengan lebih baik dan membina asas kehidupan yang stabil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESEDARAN pengurusan kewangan merupakan elemen penting dalam kehidupan moden, khususnya bagi generasi muda yang sedang menghadapi cabaran ekonomi global. Dalam era digital ini, generasi muda berdepan dengan pelbagai isu kewangan, seperti hutang pendidikan, kos sara hidup yang tinggi dan tekanan sosial untuk mencapai gaya hidup tertentu.

Kesedaran kewangan yang tinggi dapat membantu mereka mengurus kewangan dengan lebih baik dan membina asas kehidupan yang stabil.

Salah satu cabaran utama bagi generasi muda ialah hutang pendidikan yang semakin meningkat. Ramai di antara mereka terpaksa membuat pinjaman untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan ini memberi kesan kepada kestabilan kewangan mereka selepas tamat pengajian.

Selain itu, kos sara hidup yang tinggi, terutama di bandar-bandar besar dengan harga perumahan, makanan dan keperluan asas lain meningkat dengan mendadak. Tekanan sosial turut menyumbang kepada perbelanjaan yang tidak terkawal, apabila generasi muda sering dipengaruhi norma gaya hidup yang dipaparkan melalui media sosial.

Tahap kesedaran kewangan generasi muda turut dipengaruhi beberapa faktor. Pertama, kurangnya pendedahan kepada pendidikan kewangan di peringkat sekolah atau universiti menyebabkan ramai tidak memahami konsep asas kewangan seperti belanjawan, cukai dan pelaburan.

Kedua, pengaruh keluarga dan rakan sebaya juga memainkan peranan penting. Cara pengurusan kewangan dalam keluarga sering menjadi model bagi generasi muda, manakala tekanan sosial dari rakan sebaya boleh mendorong perbelanjaan yang tidak wajar.

Ketiga, walaupun teknologi menyediakan akses kepada pelbagai alat dan maklumat kewangan tetapi sekiranya kurang kemahiran untuk menggunakan maklumat ini dengan bijak boleh membawa kepada keputusan kewangan yang salah.

Kesedaran kewangan membawa banyak manfaat kerana membantu mereka mencapai kestabilan kewangan jangka panjang. Dengan memahami kepentingan simpanan dan pelaburan, mereka dapat merancang untuk masa depan dengan lebih baik.

Selain itu, kesihatan kewangan yang baik dapat mengurangkan tekanan yang berkaitan dengan masalah kewangan, seterusnya meningkatkan kesihatan mental dan fizikal. Ia juga membolehkan generasi muda bersedia menghadapi situasi kecemasan seperti kehilangan pekerjaan atau kecemasan perubatan.

Oleh itu, pendidikan kewangan perlu dimulakan sejak awal di sekolah, dengan kurikulum yang dirancang untuk memberikan pengetahuan asas.

Kajian yang dilakukan di Malaysia menunjukkan hanya sebilangan kecil generasi muda memahami konsep pelaburan dan pengurusan hutang. Walau bagaimanapun, dengan pengenalan program seperti DuitSaku oleh Bank Negara Malaysia, terdapat peningkatan dalam tahap literasi kewangan dalam kalangan belia. Program seperti ini menunjukkan betapa pentingnya sokongan institusi dalam meningkatkan kesedaran kewangan generasi muda.

Dengan meningkatkan pendidikan kewangan, memanfaatkan teknologi dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, kita dapat membantu generasi muda mencapai kestabilan kewangan. Langkah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, tetapi juga kepada ekonomi negara secara keseluruhan.-UTUSAN

ROSAMIZA MEOR RAZAK
Pensyarah Kanan Politeknik
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN