Kerja jangan sampai lupa akhirat

Kerja jangan sampai lupa akhirat

PELAKSANAAN Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) tidak seharusnya mementingkan pencapaian angka semata-mata, tetapi turut mengambil kira kesejahteraan mental, nilai akhlak dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM  dunia moden yang semakin pantas dan mencabar, penjawat awam sering terperangkap dalam perlumbaan mengejar prestasi dan kejayaan material. Namun, Surah at-Takathur membawa mesej yang amat penting untuk dihayati, terutamanya bagi pegawai sumber manusia dalam sektor awam. 

Surah ini mengingatkan kita agar tidak leka dengan mengejar duniawi semata-mata sehingga melupakan tanggungjawab yang sebenar untuk mengingati akhirat dan memastikan setiap tindakan atau keputusan yang diambil berpaksikan kepada nilai-nilai kerohanian serta etika yang tinggi. 

Dalam konteks pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula 1 Disember lalu, pengajaran daripada surah ini relevan untuk mendorong transformasi pemikiran.

Surah at-Takathur bermaksud bermegah-megah, membawa peringatan tentang bahaya berlumba-lumba mengumpul harta, pengaruh dan kuasa sehingga melupakan tujuan sebenar kehidupan untuk pengabdian kepada Allah SWT serta persediaan menghadapi hari pembalasan. 

Seperti dinyatakan dalam ayat-ayat berkenaan, manusia sering terlalai dan terpesona dengan nikmat dunia hingga mereka lupa bahawa kematian pasti menjelma dan segala nikmat yang dinikmati akan dipersoalkan di akhirat kelak. 

Sistem baharu ini (SSPA) memerlukan peningkatan kompetensi dan produktiviti yang lebih tinggi. Namun seiring dengan itu, amat penting memastikan pengurusan prestasi tidak sekadar mementingkan pencapaian angka semata-mata, tetapi turut mengambil kira kesejahteraan mental, nilai akhlak dan tanggungjawab terhadap masyarakat. Surah al-Takathur mengingatkan semua nikmat dan pencapaian yang diperoleh perlu dinilai dan digunakan dengan bijak, kerana semuanya akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Kegagalan untuk menghayati prinsip ini boleh membawa akibat buruk seperti kehilangan kepercayaan masyarakat terhadap kecekapan perkhidmatan awam dan mengundang masalah integriti serta ketidakseimbangan dalam pentadbiran. 

Bekerja dan beribadah dengan seimbang adalah kunci yang memastikan kejayaan berterusan, ibarat dunia dikelek, akhirat dijunjung.-UTUSAN

 

MOHD. RAFIZI  RAHMAD dan MOHD. AZRI ARIPIN

Universiti Teknologi Mara (UiTM) 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN