SUDAH tiba masanya untuk Kementerian Pendidikan melaksanakan penilaian terhadap transformasi sistem Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedia ada, khususnya dari aspek had umur minimum 16 tahun pada 1 Januari untuk menduduki peperiksaan tersebut pada masa kini.
Langkah tersebut wajar dipertimbangkan agar dapat memberikan peluang kepada pelajar berbakat luar biasa untuk maju lebih awal tanpa terikat kepada had umur sedia ada, sekali gus memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif dan fleksibel.
Di era globalisasi ini, bakat dan kebijaksanaan pelajar adalah aset penting untuk memacu daya saing negara.
Dengan memberikan peluang kepada pelajar berbakat untuk maju lebih awal, ini secara langsung akan menyumbang kepada pertumbuhan sektor profesional dan pertumbuhan ekonomi negara.
Mengambil contoh kejayaan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun baru-baru ini yang mencipta sejarah sebagai pelajar termuda yang diterima masuk ke program Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik di Universiti Malaya (UM), kejayaan tersebut tidak hanya membanggakan negara, tetapi juga membuka mata masyarakat terhadap potensi besar generasi muda Malaysia dalam menyumbang kepada pembangunan negara sekiranya diberi peluang sewajarnya.
Kelayakan memasuki universiti bagi pelajar cemerlang tersebut dicapai melalui kelayakan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) yang secara umumnya diambil pada usia 14 hingga 16 tahun, tetapi tidak terhad pada umur, berbanding sistem SPM yang menetapkan had umur 16 tahun.
Bagi pelajar berbakat luar biasa, syarat ini menjadi penghalang kepada potensi mereka untuk maju ke hadapan lebih awal.
Alternatif seperti IGCSE memang tersedia, tetapi kos peperiksaan yang tinggi menjadikannya tidak mampu diakses oleh kebanyakan keluarga.
Walaupun SPM (nasional) dan IGCSE atau O-level (antarabangsa) adalah dua badan peperiksaan yang berbeza, namun secara amnya mempunyai kelayakan yang setaraf.
Justeru itu, antara cadangan inisiatif awal yang boleh dikaji semula adalah seperti memperkenalkan pendaftaran terbuka bagi calon persendirian SPM tanpa had umur atau selepas tamat sekolah rendah.
Bagi calon sekolah menengah, program khas boleh diperkenalkan untuk mengenal pasti dan menyokong pelajar berbakat di peringkat awal.
Inisiatif membuka ruang pendidikan yang lebih fleksibel bukan sahaja akan mengangkat potensi pelajar berbakat, tetapi juga memastikan Malaysia mampu melahirkan modal insan berkualiti yang dapat memacu pembangunan negara, selain berupaya sebagai satu pelaburan strategik untuk masa depan yang lebih cerah dan berdaya saing di peringkat global. – UTUSAN
DR. SHARIFAH RAHAMA AMIRUL
Pensyarah Kanan Ekonomi Sumber Manusia, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS)










