Kahar: Kapla High Council tidak sensitif isu buli

Kahar: Kapla High Council tidak sensitif isu buli

FILEM Kahar: Kapla High Council dianggap tidak sesuai ditayang pada masa ini selepas beberapa tragedi berkaitan kes buli yang menjadi perhatian di media massa dan mencetuskan keresahan awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI sebuah masyarakat yang prihatin, kita sentiasa berharap industri perfileman mampu mengetengahkan isu buli sebagai pengajaran kepada umum, khususnya generasi muda.

Namun, filem Kahar: Kapla High Council, pada hemat saya, bukanlah karya yang sesuai ditayangkan pada waktu ini. Saya melihat ini sebagai langkah yang kurang sensitif, terutamanya selepas beberapa tragedi berkaitan kes buli yang menjadi perhatian.

Babak ‘perlawanan’ dan ‘ragging’, secara tidak langsung mengangkat budaya buli sebagai sesuatu yang ‘hebat’ atau normal. Kita tidak mahu babak-babak sebegini menular ke alam realiti, sama ada di peringkat persekolahan mahupun institusi pengajian tinggi. Ia boleh mencetuskan kesan negatif terhadap pembentukan nilai dalam kalangan belia, yang seharusnya membenci buli, bukan mengagungkannya.

Jika benar filem ini mahu memberi pengajaran mengenai kesan buli, mengapa hanya ditujukan kepada penonton berusia 18 tahun ke atas? Bukankah golongan remaja yang lebih muda, iaitu kumpulan sasaran utama pembuli dan mangsa buli, yang paling memerlukan mesej ini? Adakah had umur ini mencerminkan mesej sebenar yang ingin disampaikan atau sekadar untuk mematuhi garis panduan tanpa mempertimbangkan impaknya kepada masyarakat?

NGO Empati menyambut baik usaha pihak industri hiburan mengetengahkan isu sosial seperti buli. Namun, glorifikasi budaya buli terutama dengan menonjolkan pembuli sebagai ‘hero’ tidak wajar diterima, lebih-lebih lagi apabila kesan trauma buli masih menghantui keluarga mangsa.

Kami menggesa Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi mengambil tindakan lebih tegas terhadap pembuli. Institusi pendidikan sepatutnya menjadi ruang selamat untuk pelajar, kini berubah menjadi igauan ngeri bagi ibu bapa.

Pelaksanaan program sifar buli juga perlu dikaji semula untuk memastikan ia relevan dengan konteks masa kini. Penekanan kepada nilai empati mesti dijadikan keutamaan, supaya pelajar bukan sahaja dilindungi daripada menjadi mangsa, tetapi juga dijauhkan daripada menjadi pembuli.

Kepada penerbit filem Kahar: Kapla High Council dan pihak pawagam, pertimbangkan semula babak-babak yang berpotensi mempromosikan budaya buli. Walaupun sebuah filem mungkin tidak mengubah sistem secara langsung, ia berupaya membentuk persepsi masyarakat, mencipta naratif yang salah atau lebih parah, memberi inspirasi kepada individu berisiko untuk menjadi pembuli.

Kita perlu merenung, apakah mesej yang sebenarnya ingin disampaikan kepada generasi muda? Semoga keputusan yang lebih bijak dapat diambil demi melindungi nilai moral dan budaya masyarakat kita.-UTUSAN

SYAHIDA ZULKARNAIN
Presiden dan Pengasas
NGO Empati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN