STATISTIK kegagalan Matematik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terus mencetuskan kebimbangan besar. Pada 2023, seramai 85,000 atau kira-kira 23 peratus murid gagal dalam subjek ini, hampir menyamai angka 90,000 murid yang gagal pada tahun sebelumnya. Matematik, yang menjadi tulang belakang kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), memainkan peranan penting dalam membentuk generasi berdaya saing dan celik teknologi. Persoalannya kini, jika kegagalan Matematik terus meningkat, apakah nasib agenda STEM?
Apabila hampir satu perempat calon SPM tidak menguasai Matematik maka ia memberikan isyarat jelas bahawa pendidikan kita menghadapi cabaran besar dalam memperkukuh asas Matematik murid.
Statistik mencatatkan 20,000 murid turut gagal Sains, mengesahkan kelemahan Matematik memberi kesan langsung kepada bidang STEM. Dengan kelemahan asas tersebut, sukar untuk melihat Malaysia mencapai nisbah murid STEM kepada bukan STEM pada kadar 60:40 seperti yang dihasratkan.
Pendekatan seperti pembelajaran berasaskan masalah (PBL) perlu diperluas dan diperkukuhkan. Modul PBL yang direka khas untuk Matematik boleh membantu murid menghubungkan pembelajaran dengan situasi kehidupan sebenar. Ini bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih relevan tetapi juga meningkatkan motivasi murid untuk memahami Matematik. Selain itu, integrasi teknologi termasuk aplikasi mudah alih dan permainan pendidikan perlu dimanfaatkan secara lebih meluas untuk meningkatkan daya tarikan subjek ini terutamanya bagi generasi muda yang lebih terbiasa dengan peranti digital.
Peranan guru juga amat penting. Latihan guru yang berterusan perlu diberi tumpuan untuk memastikan mereka bukan sahaja cekap dalam pendekatan pengajaran terkini tetapi juga kompeten dalam memastikan murid dapat menguasai matematik dan berkebolehan mengembangkan minat mereka dalam STEM. Program bimbingan khas dan modul pemulihan Matematik juga perlu diperluas untuk menyokong murid yang ketinggalan khususnya dari kawasan luar bandar dan kumpulan sosioekonomi rendah. Semua usaha ini memerlukan penyelarasan yang teliti supaya kesannya dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
Lebih penting, masyarakat perlu mengubah pandangan terhadap Matematik. Ia bukanlah satu bidang yang hanya sesuai untuk mereka yang dianggap “bijak” atau “berbakat” secara semula jadi dalam akademik. Sebaliknya, Matematik adalah kemahiran asas yang penting untuk semua orang tanpa mengira latar belakang atau tahap kebolehan. Ibu bapa boleh menyokong anak-anak dengan mengaitkan Matematik dalam kehidupan harian. Dengan usaha bersama ini, Matematik dapat dilihat sebagai subjek yang menarik, relevan dan bermanfaat bagi membantu memastikan semua murid bersedia untuk cabaran masa depan.
Jika masalah kegagalan Matematik ini tidak ditangani segera, agenda STEM akan kekal sebagai angan-angan. Dengan strategi yang lebih inklusif dan komitmen semua pihak, kita masih berpeluang memastikan masa depan STEM di Malaysia cerah. Masa depan teknologi dan inovasi negara bergantung kepada tindakan kita pada hari ini. Jangan biarkan kegagalan Matematik menjadi penghalang kepada impian Malaysia untuk bersaing di peringkat global. – UTUSAN
SYED AZMAN SYED ISMAIL
PROFESOR MADYA DR. SITI MISTIMA MAAT
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia










