Bila kali terakhir anda ke perpustakaan?

Bila kali terakhir anda ke perpustakaan?

PERPUSTAKAAN dahulunya hanya berkaitan buku dan akhbar semata-mata telah diubah fungsinya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERLEBIH dahulu saya ingin merakamkan terima kasih di atas pihak pembaca yang sangat berminat berkenaan pengurusan perpustakaan sejak akhir-akhir ini. Apabila membincangkan berkenaan perpustakaan, berbondong-bondonglah kritikan diberikan kepada kewujudan perpustakaan terutamanya di media sosial.

Ada yang mengatakan bahawa apa relevannya kewujudan perpustakaan terutamanya pada era kecerdasan buatan yang sangat mencabar ini. Ironinya, kritikan yang hadir ini adalah dari kalangan yang langsung tidak pernah hadir ke perpustakaan. Apabila ditanya, bila kali terakhir ke perpustakaan? Jawapan yang diberikan langsung tidak mencerminkan kritikan yang diberikan sebelum ini.

Yang peliknya, ada yang mencadangkan bahawa perpustakaan perlu satu anjakan yang lebih hebat dan melontar cadangan dari ‘jauh’ tanpa memahami realiti yang telah dan sedang berlaku di peringkat perpustakaan. Ada juga yang hanya membaca tajuk akhbar berkaitan perpustakaan, tempel keratan di media sosial dan membuka ruangan komen hanya semata-mata untuk mencipta persepsi dalam masyarakat. Inilah senario yang berlaku oleh masyarakat kita pada hari ini.

Kita tidak menafikan bahawa peranan perpustakaan semakin mencabar pada masa kini. Namun semua cabaran ini telah berjaya diserap oleh kakitangan perpustakaan itu sendiri. Profesional yang dikenali sebagai pustakawan dan separa profesional yang dikenali sebagai penolong pustakawan telah bersedia untuk menerima pelbagai pembaharuan yang berlaku terutamanya dalam revolusi digital ini. Peranan profesion ini telah dicambah dengan pelbagai fungsi demi untuk kekal relevan dalam masyarakat.

Terdapat pustakawan telah menjadi pakar terutamanya dalam bidang kecerdasan pembuatan dan berkebolehan untuk menyebarkan ilmu ini kepada masyarakat awam mahupun warga universiti. Perpustakaan dahulunya hanya berkaitan buku dan akhbar semata-mata telah diubah fungsinya. Kini telah berkembang menjadi pusat kegiatan komuniti atau hab utama masyarakat setempat bagi perpustakaan negeri, cawangan mahupun desa.

Bagi perpustakaan akademik pula telah bergerak jauh ke hadapan dan menjadi pakar bagi pusat kajian bagi masyarakat OKU, kajian berkaitan robotik, pusat penyebaran teknologi tinggi seperti Augmented Reality (AR), ruang Makerspace, kelas literasi digital dan internet berkelajuan tinggi.

Selain itu, terdapat perpustakaan akademik sedang mempraktikkan ke arah teknologi blockchain, internet of things (IoT) dan big data. Dengan semua senarai di atas jelas menunjukkan bahawa perpustakaan akan terus relevan dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Sesungguhnya revolusi perpustakaan telah lama berkembang di Malaysia dan berkelas dunia. – UTUSAN

Muhammad Lukman Harun
Timbalan Ketua Pustakawan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Kuala Ketil, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN