SEMPENA Sambutan Hari Kesukarelawanan Antarabangsa pada setiap 5 Disember, Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) menyeru seluruh golongan belia berkemahiran TVET (pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional) untuk tampil berperanan sebagai sukarelawan belia berkemahiran bagi pasukan Jasa Orang Muda (JOM) yang membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara dalam konteks kerja-kerja pemeriksaan, penyelenggaraan dan pembaikan.
Seruan ini adalah kerana kemahiran teknikal kumpulan JOM ini amat diperlukan bagi tugasan pemeriksaan dan pembaikan yang berkaitan dengan pendawaian elektrik, menservis kereta dan motosikal serta penyelenggaraan kediaman.
Ini adalah peluang untuk individu yang berkemahiran turun ke lapangan sebagai satu pasukan yang mampu meringankan beban dan menyumbang kemahiran masing-masing kepada mereka yang memerlukan.
Apa yang perlu disediakan oleh mereka yang ingin bersama JOM ialah menyediakan sendiri kelengkapan alatan tangan manakala bahan-bahan gunahabis dan special tools di sediakan oleh pihak Belia Mahir.
Para pelajar dari Institusi Latihan Kemahiran Awam dan Swasta (ILKA/S) yang ingin bersama JOM amatlah digalakkan dan keutamaan adalah kepada mereka yang mempunyai kemahiran bidang pendawaian elektrik, servis motosikal dan kereta, pembaikan penghawa dingin, peralatan elektrik dan elektronik serta penyelenggaraan dan binaan bangunan.
Kami turut menyeru pada usahawan berkemahiran untuk bersama-sama dengan JOM termasuk menyumbang bahan guna habis seperti minyak hitam, wayar pendawaian elektrik, paip dan lain-lain.
Jika anda seorang yang berkemahiran, Belia Mahir menjemput anda untuk menyertai kami dalam membuat perubahan sebagai sukarelawan berkemahiran. Kepakaran anda adalah berharga, dan kesediaan anda untuk membantu orang lain adalah terpuji. Ambil peluang untuk memberi kembali dan meninggalkan kesan yang berkekalan melalui perkhidmatan sukarelawan dalam tugas pembaikan TVET.
Hubungi Sekretariat Belia Mahir di talian 010-3707171 atau 013-7733676 untuk sertai JOM. – UTUSAN
MOHAMMAD RIZAN HASSAN
Ketua Belia Mahir










