SAYA berpandangan, sudah tiba masanya Malaysia memperkenalkan Pendidikan Alam Sekitar di sekolah. Ini harus dilakukan untuk menggalakkan literasi alam sekitar seawal peringkat prasekolah.
Menurut Program Pendidikan Alam Sekitar Antarabangsa, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO-UNEP), mereka yang celik alam sekitar ialah individu yang memahami, membuat keputusan, bertindak selain mampu bekerja secara individu dan kolektif dalam menggalakkan keseimbangan antara kualiti hidup serta alam sekitar.
Kerana itu, kurikulum baharu dengan pendekatan yang lebih holistik diperlukan dalam mencapai literasi alam sekitar.
Ia adalah tambahan kepada sukatan pelajaran semasa berkaitan pendidikan alam sekitar yang diterapkan ke dalam beberapa mata pelajaran.
Inisiatif ini harus memberi tumpuan dan pendedahan luar kelas seperti berkebun, bercucuk tanam, memantau sungai dan belajar tentang pokok serta hutan.
Aktiviti ini dapat memberi kesedaran dan pemahaman yang mendalam, holistik tentang kepentingan alam sekitar serta hubungan kita dengannya.
Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan rasa pemilikan dan penghargaan tetapi juga memberikan semangat pemerkasaan kepada murid dalam membuat perubahan ke arah gaya hidup mampan. Ia juga akan membantu murid menjadi pemikir kritis dan bertanggungjawab terhadap persekitaran semula jadi.
Pendidikan ini harus menerapkan nilai-nilai penggunaan lestari, pembangunan mampan, pengawasan sumber asli dalam individu dan masyarakat.
Ilmu yang diperoleh harus diterjemahkan kepada sikap menjaga alam sekitar, bekerja untuk mempertahankannya dan melindungi kekayaannya.
Oleh itu, pendidikan ini adalah satu langkah dalam mencapai literasi alam sekitar untuk menggalakkan keputusan dan tindakan yang positif ke arah persekitaran yang lebih bersih, hijau dan sihat.
Terdapat beberapa kaedah untuk melakukannya seperti memaklumkan kepada murid tentang keperluan kecekapan tenaga dalam bangunan, yang akan menyumbang kepada usaha penjimatan tenaga.
Selain itu, ia juga boleh dilakukan dengan mendidik murid untuk menutup lampu, kipas, komputer riba dan peranti elektronik lain apabila tidak digunakan. Langkah ini akan menyemai tabiat penjimatan tenaga elektrik.
Pelajar juga harus dimaklumkan tentang kesan pembaziran tenaga dan menggalakkan tabiat mencabut palam peranti.
Mereka juga perlu dididik tentang tetapan kawalan dan kepentingan sistem penyejukan agar dapat beroperasi dengan betul. Ini juga boleh menyumbang kepada penjimatan tenaga.
Perbincangan tentang penggunaan cahaya semula jadi dan pengudaraan dalam bangunan boleh dilakukan semasa proses pembelajaran. Ini dapat membantu penggunaan lampu tiruan.-UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan










