KEROSAKAN terbesar yang diakibatkan oleh kemunafikan ialah rosak dan hilangnya kepercayaan sedangkan hubungan manusia itu dibina atas kepercayaan.
Pemimpin yang munafik atau dipandang sebagai munafik akan kehilangan kredibiliti di mata rakyat dan dengan terhakisnya kepercayaan rakyat semakin lunturlah juga kewibawaan kerajaan.
Mana-mana pemimpin politik, agama, dan masyarakat yang membuat dakwaan-dakwaan yang sebenarnya terkena kepada muka sendiri lambat laun akan terdedah tembelang mereka dan ditinggalkan oleh para pengikut yang merasa kecewa dan dikhianati.
Dari segi psikologi, kepura-puraan kebiasaannya timbul dari keinginan seseorang untuk dilihat baik, berbudi pekerti mulia dan menepati nilai-nilai yang dipandang tinggi oleh sesuatu masyarakat. Namun, apabila semua itu gagal dicapai, imej palsu yang cuba ditonjolkan, bukannya mengakui kekurangan dan kelemahan sendiri.
Perbuatan ini dilakukan mungkin bagi menutup rasa tidak selesa terhadap diri sendiri, tetapi ada juga yang tidak menyedari langsung kemunafikan sendiri disebabkan oleh kebiasaan buruk merasionalkan semua tindakan sendiri walaupun tidak bermoral.
Dari segi sosial, kemunafikan sering dijadikan alat untuk mengekalkan status atau kuasa. Golongan yang bercita-cita mendapatkan pengaruh dan kuasa tidak akan segan-silu mengangkat nilai-nilai mulia atau tingkah laku terpuji secara terbuka demi mendapatkan sokongan dan kepercayaan orang ramai walaupun secara peribadi nilai-nilai itu tidak bermakna kepada mereka.
Inilah apa yang dimaksudkan dengan peribahasa ‘ibarat ketam mengajar anak berjalan lurus’, apabila penguasa menetapkan suatu piawai untuk diikuti oleh masyarakat sama sedangkan mereka sendiri enggan mengikutinya.
Kemunafikan menjadi masalah etika sedangkan integriti menuntut keselarasan tindakan seseorang dengan nilai-nilai yang menjadi pegangan. Maka apabila seseorang melakukan sesuatu yang berlawanan dengan prinsip atau kepercayaan, integriti moral mereka akan dipersoalkan.
Kita tidak menafikan tiada siapa pun dari kalangan manusia yang sempurna akhlak dan budi pekertinya. Mereka mungkin melakukan pelbagai kesilapan tetapi sifat munafik hanya akan menyebabkan kebobrokan akhlak menjadi budaya dan cara hidup yang sukar untuk dihapuskan.
Di antara faktor utama yang menyuburkan kemunafikan adalah tekanan masyarakat sendiri. Seringkali orang ramai terpaksa akur terhadap norma-norma sosial yang mereka sendiri tidak faham ataupun persetujui. Dalam keadaan ini kemunafikan mungkin berlaku disebabkan ketegangan antara pegangan peribadi dengan jangkaan masyarakat sekeliling.
Ketegangan ini kebiasaannya amat ketara dalam sesuatu masyarakat apabila piawaian moral atau agama itu dikuatkuasakan secara ketat dan keras dan akibatnya ialah kepatuhan yang dibuat-buat secara zahir sahaja sedangkan tiada sedikitpun kerelaan mahupun keikhlasan di dalam hati.
Kemunafikan menjejaskan kepercayaan, menghakis integriti dan menyebabkan kezaliman dikekalkan.
Kemerdekaan tidak bermakna kalau negara masih dibelenggu oleh budaya munafik dan tindakan segera mestilah digerakkan bagi mengawalnya.
Pendidikan rakyat hendaklah dijuruskan kepada pembentukan generasi yang berbudi pekerti mulia, di samping generasi yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi pasaran kerja.
Kemunafikan hanya dapat dibendung dengan kesedaran diri, kejujuran dan kesediaan untuk mengakui serta membetulkan kesilapan serta kelemahan diri. Hanya apabila tindakan kita selaras dengan nilai pegangan sahaja barulah kepura-puraan dapat dihapuskan. Dengan ini, dunia akan yang lebih tulen dan beretika.-UTUSAN
MD. ASHAM AHMAD
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)










