Kita perlu urus sumber manusia dengan lebih baik

Kita perlu urus sumber manusia dengan lebih baik

ILMU pengurusan sumber manusia dapat membantu meningkatkan keberkesanan pentadbiran dan pengurusan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUMBER manusia adalah aset bagi mana-mana organisasi, swasta mahupun kerajaan. Di mana wujudnya manusia, maka disitulah wujudnya keperluan ilmu mengurus dan membangunkan sumber manusia.

Justeru, dalam apa jua konteks organisasi, ilmu pengurusan dan pembangunan sumber manusia perlu dikuasai oleh semua ahlinya, bukan hanya terhad kepada pengamal bidang.

Bidang pembangunan sumber manusia yang pada asasnya terbentuk hasil daripada integrasi bidang ekonomi, psikologi, dan sistem, serta beralaskan prinsip amalan kerja beretika, mencerminkan komponen asas yang perlu wujud dalam pembentukan sesebuah organisasi.

Bidang sumber manusia memfokus kepada empat amalan utama iaitu latihan dan pembangunan, pembangunan organisasi, pembangunan kerjaya, dan pembangunan masyarakat. Kesemua amalan ini adalah syarat bagi sesebuah organisasi untuk terus kekal beroperasi dengan efektif.

Syarikat swasta kebiasaannya mempunyai jabatan sumber manusia khusus yang berperanan merancang dan mengendalikan kesemua fungsian bidang pembangunan sumber manusia bermula daripada hari pertama seseorang pekerja bekerja sehingga hari terakhir pekerja berkenaan bekerja di organisasi tersebut.

Bilangan pegawai sumber manusia dirancang mengikut keperluan khusus pekerja dalam syarikat. Disebabkan itulah, fungsi pengamal pembangunan sumber manusia dilihat sangat jelas dalam sektor swasta.

Namun, bagi sektor perkhidmatan awam berskala besar dan menawarkan perkhidmatan perlu dan kritikal serta berasaskan profesion khusus seperti perguruan dan kesihatan, secara umumnya adalah dibawah teraju Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pegawai di JPA berperanan sebagai pengamal pembangunan sumber manusia. Untuk memudahkan pelaksanaan polisi peraturan penjawat awam dan disesuaikan dengan konteks profesion, setiap kementerian seterusnya menubuhkan jabatan atau bahagian sumber manusia masing-masing di peringkat kementerian dan seterusnya di peringkat negeri.

Pada peringkat ini, masih terdapat pembahagian tugas yang ketara antara pengamal sumber manusia dengan pengamal profesion. Namun, kerjasama erat antara pengamal sumber manusia dengan pengamal profesion akan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan yang diberikan.

Namun, di peringkat organisasi asas perkhidmatan seperti sekolah dan hospital, fungsi pembangunan sumber manusia bukan lagi dilaksanakan pengamal sumber manusia, namun ia dilaksanakan oleh pegawai dalam profesion berkenaan.

Dalam situasi inilah, ilmu pembangunan sumber manusia sangat penting untuk dipelajari oleh pegawai profesion yang bukan pengamal bidang sumber manusia. Guru adalah pakar dalam mengajar murid-murid dan mereka adalah pakar dalam hal berkaitan tugas mereka secara individu.

Namun, sekiranya mereka memegang jawatan pengurusan di sekolah, mereka bukan hanya perlu menguasai bidang pengajaran, malah ilmu pengurusan dan pembangunan sumber manusia bagi memastikan guru-guru sentiasa bermotivasi meneruskan kecemerlangan dalam semua aspek pengajaran.

Bidang pembangunan sumber manusia bukan hanya diperlukan oleh pengamal bidang, malah turut penting bagi mereka yang memegang jawatan pengurusan di mana-mana organisasi. Ini dapat membantu meningkatkan keberkesanan pentadbiran dan pengurusan, dan meningkatkan prestasi organisasi secara keseluruhannya. – UTUSAN

DR. SITI NOORMI ALIAS
Pensyarah Kanan
Jabatan Pemajuan Profesional
dan Pendidikan Lanjutan
Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN