SEKOLAH adalah tempat bagi pelajar menghabiskan sebahagian besar masa. Oleh itu, penting untuk memastikan sekolah menjadi tempat yang menggembirakan dan menyenangkan.
Suasana yang positif di sekolah bukan sahaja meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar tetapi juga membantu mereka membentuk sahsiah yang baik. Usaha untuk menjadikan sekolah tempat yang menggembirakan harus melibatkan semua pihak, termasuk guru, pelajar, ibu bapa, dan masyarakat.
Pertama, persekitaran sekolah yang selesa dan menarik memainkan peranan penting. Dengan cara ini, pelajar akan lebih bersemangat untuk datang ke sekolah setiap hari.
Selain itu, hubungan mesra antara guru dan pelajar turut menyumbang kepada suasana yang menggembirakan di sekolah. Guru perlu menjadi pendidik yang memahami perasaan dan keperluan pelajar. Interaksi penuh hormat dan kasih sayang antara guru dan pelajar akan mewujudkan suasana pembelajaran yang harmoni. Pelajar yang merasa dihargai dan diterima cenderung untuk lebih aktif dalam aktiviti pembelajaran.
Aktiviti kokurikulum yang menyeronokkan juga boleh membantu menceriakan suasana sekolah. Aktiviti seperti sukan, seni, muzik, dan kelab hobi memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan minat dan bakat. Program-program ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga menggalakkan kerjasama, komunikasi dan keyakinan diri. Apabila terlibat dalam aktiviti yang mereka gemari, pelajar akan merasa lebih gembira dan bersemangat.
Peranan ibu bapa juga tidak boleh diabaikan. Mereka perlu menyokong aktiviti sekolah dan bekerjasama dengan guru dalam membimbing anak-anak. Kehadiran ibu bapa semasa program sekolah meningkatkan rasa bangga dan kegembiraan pelajar. Sokongan emosi dari rumah membantu pelajar merasa lebih yakin di sekolah.
Seterusnya, program pembangunan sahsiah yang positif perlu diterapkan di sekolah. Program seperti minggu motivasi, ceramah inspirasi dan aktiviti khidmat masyarakat boleh membantu membentuk keperibadian pelajar.
Aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar untuk berfikir secara positif dan mengenali potensi diri. Apabila pelajar merasa diri mereka penting dan dihargai, mereka akan lebih bahagia di sekolah.
Pendekatan pembelajaran yang kreatif juga mampu menjadikan sekolah lebih menyeronokkan. Guru boleh menggunakan kaedah pembelajaran interaktif seperti permainan, simulasi dan teknologi moden untuk menarik minat pelajar. Dengan pendekatan yang kreatif, pelajar tidak lagi menganggap pembelajaran sebagai beban tetapi sebagai pengalaman yang menyeronokkan. Ini dapat meningkatkan prestasi akademik dan minat mereka terhadap ilmu pengetahuan.
Disiplin secara bijaksana juga penting dalam mewujudkan suasana sekolah yang menggembirakan. Hukuman yang terlalu keras boleh menyebabkan pelajar merasa tertekan, manakala pendekatan disiplin bersifat mendidik akan lebih berkesan. Guru perlu mengamalkan pendekatan kasih sayang dan tegas untuk membimbing pelajar ke arah yang betul tanpa merosakkan emosi mereka.
Pihak sekolah juga boleh mengadakan sambutan atau acara khas untuk menggembirakan pelajar. Contohnya, sambutan hari lahir, hari menghargai guru atau hari tema pakaian menarik. Aktiviti sebegini bukan sahaja menceriakan pelajar tetapi juga mengeratkan hubungan antara warga sekolah. Hubungan akrab akan mewujudkan suasana komuniti yang mesra dan menyeronokkan.
Apabila sekolah menjadi tempat yang menggembirakan, pelajar akan lebih bermotivasi, cemerlang dalam akademik selain menjadi individu yang seimbang dari segi emosi, mental dan sosial. Inilah matlamat sebenar pendidikan iaitu membentuk insan yang bahagia dan berjaya.-UTUSAN
NOR AZIRAH A.R
SMK Dengkil, Selangor










