SAYA tertarik dengan cadangan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya generasi muda dalam negara diperkuatkan dengan pemahaman nilai sejarah tanah air.
Katanya, jika rakyat khususnya generasi muda tidak kenal tanah airnya sendiri, tidak kenal sejarah negaranya sendiri, mana mungkin wujud perasaan hormat, cinta dan taat setia kepada negara.
Beliau bimbang jika keadaan tersebut terus diabaikan, ia akan menjadi bertambah parah apabila wujud krisis identiti dalam kalangan generasi muda sehingga mereka tidak memahami siapa diri mereka.
Sehubungan dengan itulah Ahmad Zahid menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyemak semula kurikulum pendidikan serta pengajian bagi memastikan tiada tindakan mengetepikan nilai dan fakta sejarah.
Saya bersetuju dengan pandangan Timbalan Perdana Menteri agar generasi muda perlu difahamkan dengan fakta sejarah yang betul bagi membolehkan golongan itu menghayati pemahamannya.
Sekiranya kurikulum sejarah sudah dikesampingkan, mereka yang mengkesampingkan sejarah bererti melupakan akar umbi kepada negara ini, apatah lagi akar umbi kepada bangsanya.
Apa yang nyata, sejak kebelakangan ini kalangan pelajar amat kurang sekali meminati sejarah.
Justeru ,kedua-dua kementerian terbabit perlu memikirkan cara terbaik bagaimana dapat menarik minat generasi muda tersebut kepada pengajian sejarah.
Golongan tenaga pengajar boleh memikirkan teknik pengajaran yang boleh menarik minat para pelajar mereka kepada pengajian berkenaan.
Guru-guru sejarah yang mengajar sejarah sekitar tahun enam puluhan, mempunyai cara tersendiri mereka mengajar sejarah hingga tidak membosankan pelajar.
Sebagai contoh, pengajaran sejarah peperangan, mereka melakonkan pelbagai aksi ketenteraan di hadapan pelajar menyebabkan para pelajar terbabit tidak jemu memberi tumpuan.
Semoga dengan adanya usaha pelbagai pihak, pengajian sejarah tidak akan ‘tenggelam’ begitu sahaja kepada generasi muda hingga boleh menjadikan mereka ‘buta’ sejarah. – UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










