Malaysia dalam percaturan kuasa

Malaysia dalam percaturan kuasa

PEMBENTUKAN Malaysia pada 1963 bukan sekadar hasil rundingan pemimpin tempatan tetapi turut dipengaruhi percaturan kuasa serantau dan persaingan Perang Dingin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA menyambut 16 September setiap tahun sebagai mengingati hari bersejarah pembentukan negara Persekutuan Malaysia.

Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 dengan menggabungkan empat unit politik bekas tanah jajahan British iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah (Borneo Utara) dan Sarawak.

Apa rahsia disebalik pembentukan Persekutuan ini? Mengapa pihak British bersetuju menyerahkan tanah jajahannya dengan memberikan kemerdekaan kepada Sabah dan Sarawak yang sebelum ini perjuangan mendapatkan kebebasan/merdeka daripada British (sejak awal berakhirnya Perang Dunia Kedua) tidak dipersetujui.

Perjuangan Sarawak untuk bebas selepas berakhirnya Perang Dunia kedua melalui jalan sukar kerana British tidak menunjukkan tanda-tanda negeri itu akan diberikan kemerdekaan.

Seakan pihak British akan terus menguasai wilayahnya di Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei. Mengapa pada awal 1960-an pihak British merestui pembentukan Persekutuan Malaysia (dengan sanggup memberikan kemerdekaan kepada wilayah-wilayahnya di Borneo) bagi membentuk Persekutuan Malaysia?

Persoalan politik domestik di Singapura dan Tanah Melayu iaitu perjuangan menentang komunis adalah isu utama yang penting. Dalam era Perang Dingin persaingan antara kuasa komunis-sosialis (diketuai oleh Soviet Union) dan demokrasi-kapitalis (Amerika Syarikat, AS) tidak dapat dipisahkan.

Tanah Melayu dan Singapura menghadapi masalah persaingan dua ideologi ini, begitu juga di Sarawak. Aktiviti dan ancaman komunis adalah ancaman besar kepada keselamatan negara.

Perkembangan politik di Singapura pada awal 1960-an iaitu kebangkitan Barisan Sosialis dan kedudukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang ‘terancam’ membawa cadangan penyatuan Republik Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Ancaman komunis ini penting bagi keselamatan Singapura dan juga Tanah Melayu. Bagi generasi muda yang dilahirkan selepas Perang Dingin berakhir mungkin tidak begitu menyedari dan dapat merasakan roh sebenar betapa kuat dan dahsyatnya ancaman komunis terhadap keselamatan negara.

Tetapi jika kita berada dalam tahun-tahun era Perang Dingin masih berjalan (sebelum 1989), ancaman ini akan benar-benar terasa. Atas dasar kepentingan keselamatan dan percaturan kuasa wilayah dan politik antarabangsa, Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman tidak menolak cadangan Singapura menggabungkan republik itu dengan Tanah Melayu.

Tanah Melayu akan terancam keselamatannya andai Singapura dikuasai pihak komunis. Rancangan pihak komunis antarabangsa bagi menjadikan Singapura sebagai ‘Cuba di Asia Tenggara’ akan memberikan ancaman kepada negara bukan komunis di Asia Tenggara, khususnya Tanah Melayu yang hampir dengan Singapura.

Singapura akan lebih selamat andainya bergabung dengan Tanah Melayu bagi mengimbangi kuasa komunis dalam politik domestiknya. Andainya Barisan Sosialis menguasai anggota Parlimen Singapura, maka kekuatan politik pro demokrasai-kapitalis di Tanah Melayu dapat mengimbangi dan menyelamatkan kedudukan PAP di Singapura.

Rasional ini boleh diterima Tunku Abdul Rahman. Persoalan besar yang timbul adalah politik jangka panjang Parti Perikatan (UMNO,MCA dan MIC) yang didominasi pimpinan Melayu UMNO, akan terus selamat dan pimpinan Melayu menjadi kuasa dominan.

Analisis mudah Tunku Abdul Rahman adalah kuasa politik Perikatan pimpinan Melayu akan terancam jika gabungan politik antara Tanah Melayu dan Singapura berlaku kerana kumpulan penduduk majoriti adalah keturunan kaum Cina.

Politik orang-orang Melayu akan terancam dalam jangka panjang dengan kemasukan Singapura yang mempunyai penduduk keturunan Cina yang besar jumlahnya. Hanya dengan gabungan Tanah Melayu-Singapura penduduk kaum Cina akan menjadi kumpulan majoriti. Kedudukan politik Melayu pimpinan Tunku Abdul Rahman akan terancam.

Tunku Abdul Rahman bersetuju dasar gabungan tetapi bukan hanya Tanah Melayu dan Singapura sahaja. Tanah Jajahan British di Borneo (iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei) juga perlu digabungkan bersama dalam unit politik yang besar.

Rasional utama Tunku Abdul Rahman adalah penduduk utama Persekutuan adalah kumpulan bangsa Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Kedudukan politik bangsa Melayu dan bumiputera akan lebih terjamin dalam jangka panjang dan pimpinan Melayu dan bumiputera akan terus kukuh bertahan menguasai pimpinan utama politik negara.

Andainya pihak British mahukan gabungan adalah dengan gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Mengapa pihak British bersetuju menyerahkan tanah-tanah jajahannya di Boneo?

PERCATURAN KUASA PERANG DINGIN

Dari aspek ekonomi merugikan pihak British dengan penyerahan wilayah-wilayah di Borneo itu. Pihak British bersetuju menyerahkan wilayah-wilayah Boneo itu atas faktor politik wilayah semasa Asia Tenggara dan persaingan Komunis-Sosialis dan Demokrasi-Kapitalis di peringkat antarabangsa.

Perkembangan politik yang berlaku di IndoChina (perkembangan politik dan kedudukan komunis di Vietnam khususnya) dan juga perkembangan politik di Indonesia (khususnya kedudukan dan pengaruh PKI pimpinan D.N. Aidit dalam politik Indonesia pada awal 1960-an) mempunyai hubungan rapat dengan kesediaan British menyerahkan wilayah-wilayahnya di Borneo bagi membentuk persekutuan Malaysia.

Kemenangan pihak komunis pimpinan Ho Chi Minh dalam Peperangan Vietnam I (1946-1954) dan pembentukan negara komunis Vietnam Utara memberikan implikasi besar kepada percaturan politik kuasa Barat anti-komunis di Asia Tenggara.

Peperangan yang berlaku dalam 1960-an antara Vietnam Utara (komunis) dan Vietnam Selatan (disokong AS) menonjol kekuatan komunis yang pada dasarnya agak sukar bagi AS mempertahankan Vietnam Selatan daripada serangan dan pengaruh komunis yang begitu kuat.

Gabungan dan pembentukan persekutuan Malaysia bukan sahaja mempertahankan kedudukan/menyekat perluasan pengaruh komunis di Singapura tetapi di seluruh wilayahnya di Asia Tenggara.

Kedudukan komunis juga agak kuat di Sarawak dan juga ancaman Parti Komunis Malaya di negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu. Pembentukan Persekutuan sebagai tindakan mengekang dan melemahkan kedudukan pengaruh komunis.
Kedudukan dan pengaruh komunis di Indonesia juga mempunyai hubungan dengan kesanggupan British menyerahkan tanah-tanah jajahannya di Borneo bagi pembentukan Malaysia.

Kedudukan pengaruh komunis amat kuat dalam politik Indonesia khususnya PKI pimpinan D.N. Aidit. PKI adalah sebuah parti politik yang sah dalam politik Indonesia pimpinan Presiden Sukarno. Tiga parti politik utama dalam Kerajaan Sukarno selepas 1956 adalah Partai Nasional Indonesia, Nahdatul Ulama dan PKI pimpinan Aidit.

Komunis mula berada dalam Kerajaan Indonesia pimpinan Sukarno selepas perpecahan PN dengan Masjumi pada 1956. Sejak itu kedudukan komunis semakin kuat dalam politik Indonesia.

Kedudukan PKI dalam politik Indonesia dalam awal 1960-an sangat kuat. Tiga orang pemimpin komunis Indonesia iaitu D.N. Aidit, Nyotodan Lukman adalah mempunyai kedudukan bertaraf menteri dalam politik dan pentadbiran Indonesia. Dijangkakan PKI akan menguasai politik Indonesia andainya tidak berlaku peristiwa 30 September 1965 dan jika Indonesia tidak diambil-alih oleh pentadbiran ‘order baharu’ pimpinan Presiden Suharto.

Pembentukan Persekutuan Malaysia 1963 adalah mempunyai hubungan rapat dengan percaturan kuasa politik wilayah dan politik dunia. Ia tidak dapat dijelaskan dengan mudah tanpa merujuk percaturan kuasa yang berlaku di peringkat wilayah dan dunia.

Peranan yang dimainkan pemimpin peringkat domestik, khususnya Tunku Abdul Rahman sangat penting. Tanpa peranan pemimpin di peringkat nasional, tidak mungkin menjadi realiti.

Dalam masa sama perkembangan politik dunia khususnya persaingan dua kuasa besar dalam era Perang Dingin (struktur bipolar) penting.

Dalam era bipolar semua perkembangan politik tidak bebas dan terlepas daripada persaingan dua buah/pihak kuasa besar yang bersaing dan menguasai dunia. Proses pembentukan Persekutuan Malaysia 1963 juga adalah tidak terkecuali.

Dalam mengekalkan keutuhan Persekutuan Malaysia pada masa depan juga harus difahami dengan perkembangan semasa politik antarabangsa. Tindakan serta keputusan dasar luar mana-mana negara (khususnya negara kecil) tidak benar-benar bebas daripada pengaruh dan pertimbangan kuasa besarutama. –UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Ketua Kluster Hubungan Antarabangsa dan Politik Borneo, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×