BARU-baru ini, di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebanyak 30 negara termasuk Malaysia berjaya mengusulkan resolusi bagi menamatkan penjajahan di Palestin. Hasil undian mendapati sebanyak 124 negara menyokong, 14 menolak dan 43 berkecuali.
Jumlah sokongan yang didapati dalam undian ini menunjukkan sebahagian daripada penduduk dunia pada ketika ini bukan sekadar menyokong pembunuhan beramai-ramai di Gaza tetapi menghentikan penindasan dan penjajahan secara total ke atas seluruh Palestin.
Sokongan ketenteraan daripada beberapa negara Arab dan Iran untuk menghentikan serangan ke atas Gaza turut semakin serius.
Baru-baru ini, Iran melancarkan sekitar lebih 200 roket balistik menyerang pelbagai sasaran termasuk pangkalan pesawat udara tentera Israel. 40 peratus daripada serangan tersebut berjaya sampai pada sasaran.
Beberapa hari seterusnya kumpulan pejuang dari Iraq pula lancarkan serangan dron menyasarkan sebuah kem tentera di Bukit Golan. Serangan tersebut mengakibatkan dua orang cedera dan sekitar 20 orang cedera.
Sementara kita dapat melihat nyawa ketenteraan daripada pihak pejuang-pejuang Gaza seolah-olah semakin kuat. Pada minggu lepas sahaja mereka berjaya melumpuhkan sekitar 20 aset kenderaan di Rafah dan Khan Younis.
Rejim Israel turut mengalami kerugian dan kekalahan daripada segi sokongan antarabangsa, ekonomi dan ketenteraan.
Entiti ini sepanjang sejarahnya tidak pernah melalui peperangan yang panjang. Kita tidak sepatutnya memperbesarkan tempoh setahun ini kerana episod-episod pembebasan tanah air biasanya lama.
Sedangkan Salahuddin al-Ayyubi mengambil masa selama 88 tahun untuk kembali ke Bait al-Maqdis. Jangan putus harapan untuk melihat Palestin kembali bebas walaupun sudah 75 tahun di bawah jajahan rejim Israel.-UTUSAN
MEGAT AIMAN HAKIM MEGAT SHARIFFUDIN
Penyelidik Aqsa Syarif, Calon Pelajar Master,
Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya (UM)










