Seragamkan fatwa antara negeri-negeri

Seragamkan fatwa antara negeri-negeri

PENYERAGAMAN fatwa amat diperlukan bagi menangani isu-isu berkepentingan nasional seperti Global Ikhwan Services & Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT isu Global Ikhwan Services & Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), terdapat keperluan untuk menyeragamkan di seluruh negeri kerana ia dilihat sebagai isu yang menyentuh kepentingan nasional.

Ini adalah disebabkan ahli, pengikut dan operasi perniagaan syarikat ini tidak terhad di sebuah negeri sahaja namun dilaporkan berkembang di seluruh negara dan turut mempunyai rangkaian di beberapa negara lain. Polemik ini turut membuka ruang desakan dari pelbagai pihak supaya badan-badan fatwa segera mengeluarkan fatwa rasmi mengenai ajaran yang bawa oleh golongan ini.

Perlis dilaporkan mengeluarkan fatwa berkaitan isu ini dan beberapa negeri lain turut menyatakan hasrat untuk membincangkan di peringkat jawatankuasa fatwa negeri masing-masing seperti Terengganu dan Selangor namun terdapat juga negeri seperti Kelantan yang menyatakan tiada keperluan untuk mengeluarkan fatwa baharu kerana sudah memadai dengan fatwa pengharaman Al- Arqam.

Ini sedikit sebanyak menimbulkan konflik yang sepatutnya ditangani dengan berhemah dan harmoni bagi membendung penyebaran ajaran ini dan memudahkan pihak penguatkuasa mengambil tindakan susulan bagi sebarang pelanggaran fatwa yang diwartakan kelak oleh negeri-negeri terlibat sekali gus mengelakkan kekeliruan masyarakat Islam terhadap ketetapan hukum atau fatwa di Malaysia.

Antara contoh fatwa yang dilihat berjaya diselaraskan di seluruh negara adalah pengharaman Kumpulan Hizbut Tahrir yang juga menyentuh isu kepentingan nasional dan melibatkan gerakan yang mempunyai rangkaian yang meluas di tanah air ini.

Antara langkah yang boleh diambil bagi merealisasikan penyeragaman fatwa ini adalah dengan melakukan pindaan terhadap peruntukan undang-undang dalam Akta/Enakmen/Ordinan Pentadbiran Agama Islam Negeri dan yang berkaitan dengan fatwa dengan memasukkan penerimaan Jawatankuasa Fatwa Negeri terhadap pandangan hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) khususnya isu-isu yang melibatkan kepentingan nasional dan setiap fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri hendaklah diwartakan.

Isu GISBH yang dikaitkan dengan eksploitasi kanak-kanak, penyelewengan agama dan ajaran sesat mengundang perhatian terhadap keperluan penyeragaman fatwa di Malaysia. Walaupun fatwa di bawah bidang kuasa negeri, penyeragaman amat diperlukan bagi menangani isu-isu kepentingan nasional yang melibatkan pelbagai negeri terutama kes yang mempunyai pengaruh luas termasuk di peringkat antarabangsa.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berperanan penting dalam penyelidikan, penyelarasan dan penyeragaman fatwa di peringkat nasional. Namun, konflik timbul apabila terdapat perbezaan pandangan antara negeri-negeri mengenai keperluan untuk mengeluarkan fatwa khusus terhadap ajaran GISBH. Ini mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan menyukarkan penguatkuasaan pelanggaran fatwa yang diwartakan.

Langkah ke arah penyeragaman fatwa boleh dicapai dengan meminda peruntukan undang-undang di bawah Akta/Enakmen/Ordinan Pentadbiran Agama Islam Negeri. Ini termasuk mewajibkan negeri-negeri menerima pandangan hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI, terutama bagi isu-isu berkaitan kepentingan nasional, serta memastikan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri diwartakan. Penyeragaman fatwa bukan sahaja membantu menangani penyebaran ajaran sesat tetapi juga memperkukuhkan kesatuan hukum syarak di Malaysia.-UTUSAN

DR. MOHAMED RASHID AB. RAZAK
Timbalan Pengarah Pusat Islamisasi (CENTRIS) merangkap Pensyarah Kanan Jabatan Undang-undang Islam
Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN