Pertembungan yang tidak menguntungkan

Pertembungan yang tidak menguntungkan

DALAM dunia media sosial yang rencam dan bebas, setiap hari tumpuannya adalah menghentam individu tertentu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP zaman akan berlaku perbezaan pandangan dan pertembungan pemikiran disebabkan banyak perkara. Cuma persekitaran yang melatari perbezaan pandangan itu mungkin berbeza.

Antara pertembungan pemikiran yang mendominasi media sosial pada masa kini ialah antara salafisme dan tradisionalisme.

Sekiranya dulu perdebatan berlaku di perhimpunan, masjid, majlis ilmu, istana penguasa. Perdebatan juga berlaku dengan adab bermujadalah dan kaedah al-bahth wal munazarah tetapi hari ini, media sosial menjadi medan pertukaran pandangan, perdebatan serta perbalahan.
Bila ini berlaku, emosi, sentimen dan nafsu amarah lebih mudah menguasai keadaan.

Mengapa saya katakan pertembungan ini merugikan? Pertama, perdebatan ini terlalu mudah untuk dibawa ke ruang awam yang nantinya akan diadili masyarakat maya. Mereka lebih beremosi dan mudah termakan dengan retorik murah berbanding kelompok ilmuwan.

Sementara itu, kalangan ilmuwan yang berada dalam media maya seakan-akan membiarkan pertembungan itu terus berlaku kerana akan menguntungkan kelompok yang mereka ketuai.

Kerugiannya ialah, emosi dan kebencian dalam medium berkenaan.

Kedua, jika dahulu, sekiranya berlaku serangan ilmiah kepada seseorang tokoh, akan banyak kitab-kitab yang ditulis untuk memperkukuhkan pegangan sesuatu pendirian secara teliti dan tekun bukan untuk menyerang individu itu tetapi memperdalamkan selain memperhalusi hujah serta dalil aliran yang dipegang.

Hari ini, dalam dunia media sosial yang rencam dan bebas, setiap hari tumpuannya adalah menghentam individu tertentu sehingga tersungkur rebah, tidak boleh bangkit kembali.

Ketiga, budaya ilmu sebenar tidak akan dapat dibangunkan. Hari ini yang lebih popular ialah penghujahan dalam bentuk retorik, malah yang lebih parah lagi dalam bentuk sufasta’iyyah yang serba keliru.

Ada beberapa perkara yang boleh difikirkan dan dilaksanakan untuk mengubah keadaan ini. Mungkin dari segi teknologi maklumat, ia sukar diubah, namun dari segi sikap dan adab boleh diperbaiki.

Selain itu, tumpukan kepada cabaran utama yang dikongsi bersama oleh semua pihak terutama berkaitan sekularisme, kekeliruan dalaman umat Islam, kemelut perang dan serangan musuh luar yang perlu diambil perhatian.

Seterusnya tumpukan penjelasan dan takrifan yang betul serta hujah dan dalil yang berasas dan kukuh. Elakkan emosi melulu dan serangan kepada individu.

Kemudian, perlu bersikap berlapang dada atas perbezaan yang ada. Dahulukan sikap kasih sayang, rahmah terhadap sesama Islam kerana mereka semuanya bersaudara.-UTUSAN

DR. MOHD. FARID MOHD. SHAHRAN
Felow Utama, Pusat Kajian Syariah,
Undang-undang dan Politik (SYARAK)
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN