JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama dengan jabatan-jabatan mufti di seluruh negara dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), menyuarakan kebimbangan terhadap penyimpangan akidah yang dibawa Global Ikhwan Services & Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH). Berikutan itu, mereka juga mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani ancaman yang boleh menggugat keharmonian akidah umat Islam di Malaysia.
Kerjasama erat antara Jakim, MKI dan jabatan-jabatan Mufti memastikan setiap langkah yang diambil terhadap isu-isu ini selaras dengan kehendak syariat selain bertujuan untuk melindungi kesatuan umat Islam. Pihak-pihak berautoriti ini memainkan peranan penting dalam menjaga keutuhan akidah dan mencegah amalan-amalan yang menyimpang.
Nadwah Ulama dan Ilmuwan (NUIM) dengan ini menyeru seluruh umat Islam agar sentiasa merujuk kepada pihak berautoriti agama seperti Jakim, jabatan-jabatan mufti dan MKI dalam memastikan amalan agama yang diamalkan adalah sahih dan selaras dengan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah Asya’irah dan Maturidiyyah.
NUIM juga menyeru kepada semua umat Islam agar meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak berautoriti agama dalam menangani isu-isu berkaitan agama, termasuk hal-hal berkaitan penyelewengan akidah dan amalan. Pihak berkuasa agama sentiasa bekerja untuk menjaga akidah umat Islam dan terbuka menerima cadangan serta idea penambahbaikan daripada semua pihak yang berkenaan.
Penting untuk tidak cepat memperlekehkan agensi-agensi agama kerana mereka menjalankan tugas dengan tanggungjawab besar dalam memelihara kemurnian Islam di negara kita. Umat Islam dinasihatkan untuk terus merujuk kepada pihak-pihak ini dalam menghadapi sebarang kekeliruan atau isu berkaitan agama.
Semoga kita semua dilindungi Allah daripada fitnah akidah dan dianugerahkan kekuatan untuk menegakkan agama Islam yang sebenar.-UTUSAN
DR. BASHIR MOHAMED AL-AZHARI
Pengerusi Nadwah Ulama dan Ilmuan Yadim (NUIM)










