PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya mengkaji semula piawaian pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya memandangkan banyak jalan berlubang dan permukaan jalan tidak rata sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.
Dalam tinjauan CAP baru-baru ini, kami mendapati antara jalan utama yang rosak adalah di Jalan Thean Teik, Jalan Paya Terubong, Jalan Jelutong, Jalan Perak, Jalan Bukit Gambir, dan beberapa jalan lain di kawasan perumahan.
Dengan peningkatan kenderaan bermotor terutamanya kereta persendirian di jalan raya Pulau Pinang dalam tempoh 10 tahun, adalah amat penting bagi jalan raya ini diselenggara dengan baik.
Kontraktor yang ditugaskan untuk membina, menyenggara dan mengekalkan jalan perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kerja yang teruk termasuk mengakibatkan jalan berlubang dan permukaan jalan tidak rata.
Berulangnya kejadian jalan berlubang dan permukaan yang tidak rata hanya menunjukkan kerja-kerja yang dijalankan amat teruk. Mereka perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menjalankan pemeriksaan secara mingguan di semua jalan raya. Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga perlu mencontohi negara jiran kita, Singapura, dalam memastikan jalan raya mereka berada dalam keadaan terbaik.
Jalan yang rosak adalah bahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya jika Pulau Pinang menjangkakan kemasukan pelancong yang lebih besar semasa musim cuti atau perayaan.
Langkah-langkah pembaikan segera perlu diambil untuk memastikan jalan raya kita tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna. Selain itu, permukaan jalan yang tidak rata dan berlubang menyebabkan kerosakan pada pengantungan serta penyerap hentak kenderaan.-UTUSAN
MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)










