DALAM dunia yang semakin dipenuhi dengan pilihan dan peluang, konsep FOMO (takut ketinggalan) dan YOLO (hanya hidup sekali) sering kali menjadi panduan dalam membuat keputusan.
FOMO merujuk kepada kebimbangan yang dirasakan apabila berasa terpinggir atau terlepas peluang yang mungkin lebih baik, manakala YOLO mengajak kita untuk mengambil risiko dan merasai pengalaman hidup tanpa menunggu. Kedua-dua konsep ini mempunyai daya tarikannya tersendiri, tetapi mencari keseimbangan antara keseronokan dan kewajipan adalah kunci untuk menjalani kehidupan yang memuaskan.
FOMO sering kali dipicu oleh media sosial. Kita terdedah kepada saat indah yang dikongsi orang lain. Melihat rakan-rakan bercuti, menghadiri acara sosial atau mencapai kejayaan tertentu boleh menimbulkan rasa cemburu dan tekanan untuk turut serta.
Dalam situasi ini, kita mungkin merasa terpaksa untuk mengikuti arus, walaupun tidak selaras dengan keinginan atau keperluan peribadi. Rasa terpinggir ini boleh menyebabkan kita mengambil keputusan yang tidak bijak, seperti membelanjakan wang yang tidak mampu untuk menghadiri acara atau terlibat dalam aktiviti yang tidak kita nikmati.
Sebaliknya, YOLO menggalakkan kita untuk mengambil tindakan dan mengejar pengalaman yang berharga. Konsep ini menekankan kepentingan menikmati setiap detik dalam hidup kerana tidak tahu apa yang akan berlaku di masa depan. Ia mengajak kita untuk keluar dari zon selesa dan mencuba perkara baharu. Namun, pendekatan ini juga boleh membawa kepada keputusan impulsif yang mungkin tidak memikirkan kesan jangka panjang. Tanpa pertimbangan yang sewajarnya, kita mungkin mengabaikan tanggungjawab dan kewajipan yang perlu dipenuhi dalam kehidupan seharian.
Dalam mencari keseimbangan antara FOMO dan YOLO, kita perlu untuk mengatakan ‘tidak’. Ini bukan sahaja membantu untuk fokus kepada perkara yang benar-benar penting, tetapi juga memberi ruang untuk menikmati pengalaman yang kita pilih dengan lebih mendalam.
Satu lagi cara untuk mencapai keseimbangan adalah dengan menetapkan batasan. Dalam menghadapi FOMO, kita boleh menetapkan waktu tertentu untuk menggunakan media sosial atau menghadiri acara sosial. Dengan cara ini, kita dapat mengawal pendedahan terhadap pengalaman orang lain dan mengurangkan rasa terpinggir. Selain itu, menetapkan bajet untuk aktiviti sosial juga membantu kita mengelakkan pembaziran dan memastikan kita tidak terjebak dalam tekanan untuk sentiasa terlibat.
Aspek penting lain dalam mencari keseimbangan adalah mengamalkan kesyukuran. Menyedari dan menghargai apa yang kita miliki dapat mengurangkan rasa cemburu terhadap pengalaman orang lain. Dengan mengambil masa untuk merenung tentang pencapaian dan pengalaman positif dalam hidup kita, kita dapat membangunkan sikap yang lebih positif terhadap pilihan yang kita buat. Kesyukuran membantu kita untuk fokus kepada perkara yang benar-benar memberi makna dalam hidup kita, bukan hanya kepada apa yang kita rasa kita kehilangan.
Dalam konteks YOLO, penting untuk mengambil risiko yang diperhitungkan. Kita tidak perlu terjun ke dalam pengalaman baharu tanpa memikirkan akibatnya. Sebaliknya, kita boleh merancang dan bersedia untuk cabaran yang akan datang. Contohnya, jika ingin bercuti ke luar negara, kita boleh melakukan penyelidikan terlebih dahulu mengenai destinasi, bajet dan aktiviti yang ingin dilakukan. Dengan perancangan yang rapi, kita dapat menikmati pengalaman baharu tanpa mengabaikan tanggungjawab yang ada.-UTUSAN
NORADILLA OSMAN
Jabatan Perdagangan
Politeknik Seberang Perai










