Keakraban Malaysia, Pakistan bantu keamanan di Palestin

Keakraban Malaysia, Pakistan bantu keamanan di Palestin

MALAYSIA-Pakistan adalah antara negara penting yang memperjuangkan keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menangani isu Islamofobia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAWATAN kerja pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan sejak menjadi Perdana Menteri untuk bertemu Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif diharap dapat mempertingkatkan lagi hubungan ekonomi Putrajaya-Islamabad.

Pada 2023, hubungan dagangan kedua-dua hala berjumlah USD1.4 bilion (RM7.84 billion), susut sedikit berbanding pada 2022 berjumlah USD1.78 bilion (RM7.89 bilion). Pakistan banyak mengimport minyak sawit, barangan elektronik/elektrik serta produk kimia dari Malaysia dan kuantiti ini perlu ditambah lagi. Manakala Malaysia mengimport produk makanan seperti beras dan tekstil dari Pakistan.

Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Erat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) yang berkuatkuasa pada 2008 perlu disemak semula dan disesuaikan dengan keadaan pasaran semasa. Rundingan itu dijangka diadakan pada bulan depan.

Malaysia perlu merebut peluang Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) yang akan menghubungkan Pelabuhan Gwadar di Pakistan dengan wilayah Xinjiang di China sebagai inisiatif laluan sutera yang baharu, selain teknologi pertahanan yang dibangunkan Islamabad. Pakistan pula boleh mengambil manfaat daripada Malaysia yang bakal menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.

Selain daripada bidang ekonomi, Malaysia-Pakistan adalah antara negara penting yang memperjuangkan keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menangani isu Islamofobia. Konflik di Palestin yang tidak menampakkan tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat ini memerlukan desakan serta usaha kuat Putrajaya-Islamabad memandangkan ia adalah isu kemanusiaan dan bukannya isu umat Islam semata-mata termasuklah di Kashmir.

Lokasi sebagai negara Islam di luar rantau Arab, kedua-dua buah negara dilihat dunia antara model sederhana yang boleh menyuarakan pandangan umat Islam di pentas global. Hubungan rapat China-Pakistan juga patut diambil. Kunjungan Anwar ke Islamabad ini sangat tepat pada masanya selepas Yang Dipertuan Agong berangkat ke Beijing baru-baru ini. Beberapa isu tenaga buruh Pakistan yang agak ramai di Malaysia juga perlu ditangani secara menang-menang antara kedua-dua perdana menteri.

Pengasas dan bapa kemerdekaan Pakistan, Muhammad Ali Jinnah pada tahun 1947 pernah berkata, “Kamu bebas untuk ke masjid, kuil atau mana-mana tempat ibadat berdasarkan kepercayaan masing-masing dan ia tidak mengganggu prinsip asas kita semua sebagai seorang warganegara yang sama tanpa sebarang kasta dalam negara yang satu.” Sama seperti Tunku Abdul Rahman, Malaysia-Pakistan mahukan dunia yang aman dan sejahtera.

Untuk tujuan itu, kemakmuran ekonomi perlu diteruskan dan kelebihan yang ada antara Putrajaya-Islamabad patut dibangunkan lagi demi manfaat bersama. Malaysia-Pakistan Zindabad! – UTUSAN

ABU BAKAR ABDUL JALAL
Penganalisis strategik dan hubungan antarabangsa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN