Waspada gerakan penyelewengan akidah

Waspada gerakan penyelewengan akidah

KEKANG penularan pengaruh ajaran sesat daripada kian merebak dan menjadi wabak kepada umat.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUTAKHIR ini masyarakat ditampilkan dengan organisasi dan individu yang disyaki mengamalkan ajaran sesat dan mempromosi fahaman tersebut di media-media sosial. Perkara ini dikhuatiri akan mempengaruhi nilai kefahaman beragama oleh umat Islam di negara kita ini khususnya di  Selangor.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor memandang serius sebarang bentuk gerakan penyelewengan akidah. Sebagai sebuah organisasi Islam yang menjunjung tinggi nilai-nilai keimanan dan kesatuan umat, kami mengecam segala bentuk penyimpangan akidah dan ajaran sesat yang pada hakikatnya hanya untuk memecah-belahkan umat Islam serta membelakangi syariat.

Dalam pada itu, ABIM Selangor menyambut baik dan menyokong tindakan serta inisiatif yang diambil oleh pihak berkuasa, antaranya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memulihara dan mengukuhkan akidah umat Islam di Selangor, seraya mengekang penularan pengaruh ajaran sesat ini daripada kian merebak dan menjadi wabak kepada umat.

Sehubungan dengan itu, ABIM Selangor menyeru semua pihak untuk menjaga ketenangan awam melalui:

  • Menghindari penyebaran maklumat yang tidak disahkan dan berpotensi menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
  • Aktif memantau perkembangan isu sebegini dan melaporkan segera segala maklumat yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.
  •  Mempererat tali silaturahim dan memperkukuhkan perpaduan umat dalam menghadapi cabaran dan ancaman terhadap akidah.

 

ABIM Selangor berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan bijaksana dan adil bagi menjaga keharmonian umat Islam. Kami juga mengajak seluruh umat Islam untuk berpegang teguh kepada sumber ajaran Islam yang sahih, iaitu al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Mari kita berempak dalam menjaga kesucian agama Islam dan perpaduan umat.

 

AHMAD FAHMI ADZHA MOHD NASARUDIN

Setiausaha Negeri ABIM Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN