SAUDARA PENGARANG,
KEJADIAN air pasang besar atau air pasang perbani sering melanda negara kita sejak kebelakangan ini. Fenomena ini sedang melanda Semenanjung Malaysia dipercayai menyebabkan berlakunya insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos lalu yang mengakibatkan seorang pelancong wanita warga India terkambus dan dibawa arus deras di bawah tanah.
Operasi pencarian dan menyelamat (SAR) akhirnya dihentikan pada 31 Ogos 2024, lebih seminggu selepas insiden itu berlaku.
Selain daripada kejadian itu, terdapat juga pelancong tempatan yang berhadapan dengan masalah hampir serupa di kawasan pelancongan di Malaysia.
Sebagai contoh, fenomena air pasang besar yang mengakibatkan berlakunya kejadian kepala air melanda Slim River, Perak. Sebuah empangan pecah dan seramai 109 orang terperangkap selama beberapa jam di Kampung Sungai Bil, Tapak Perkhemahan Sir Zulkifli Sungai Bil, Kampung Pasir Ulu Bil dan Eco Park Risda, Ulu Slim.
Banyak kejadian melibatkan sama ada air pasang besar ataupun kepala air yang mengorbankan nyawa dan harta benda pelancong atau pengunjung luar kawasan. Oleh itu, mereka perlu mempunyai tahap waspada yang tinggi dengan keadaan keliling dan persekitaran.
Sebenarnya alam sudah banyak memberikan tanda mengenai sesuatu malapetaka akan terjadi. Kebiasaanya orang tempatan akan lebih berwaspada dengan tanda-tanda tersebut dan mengambil langkah berjaga-jaga.
Manakala pelancongan atau pengunjung pula sering terleka dengan keadaan persekitaran mereka disebabkan kurang biasa dengan kawasan tersebut.
Antara contoh tanda-tanda akan berlaku kepala air di kawasan air terjun atau sungai seperti:
Air sungai berbuih dengan banyak dan warna bertukar menjadi kekuningan
Bunyi seperti guruh atau dentuman kuat daripada arah hulu sungai
Awan gelap di bahagian hulu sungai
Taburan hujan yang luar biasa lebat dan dalam jangka masa yang lama
Sebagai pelancong, penting untuk merujuk laporan dan ramalan kaji cuaca sebelum memulakan perjalanan. Sekiranya taburan hujan luar biasa, maka segala langkah berjaga-jaga perlu diambil. Batalkan rancangan perjalanan sekiranya itu lebih baik dan dapat mengelak daripada sebarang kecelakaan.
Konsep mencegah lebih baik daripada merawat perlu dipraktikkan dalam keadaan begitu. – UTUSAN
PROFESOR. MADYA DR. SITI SURIAWATI ISA
Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan,
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar,
Universiti Putra Malaysia (UPM)










