Usah keluar kata-kata kebencian, pecah belah umat Islam

Usah keluar kata-kata kebencian, pecah belah umat Islam

PEMIMPIN politik seharusnya mengawal diri agar tidak mengeluarkan kata-kata berunsur benih kebencian atau boleh menimbulkan provokatif yang akhirnya boleh menjurus perpecahan umat Islam di negara ini. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TAN Sri Abdul Hadi Awang diminta supaya mengawal diri beliau agar tidak bermaharajalela dengan mengeluarkan kata-kata berunsur kebencian atau menimbulkan provokatif yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan umat Islam di negara ini.

Kenyataan Presiden Pas itu dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya. Dalam hantaran itu, Abdul Hadi melabelkan UMNO ‘lebih dajjal dari dajjal’ kerana meneruskan agenda kebendaan bersama parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

Ini bukan kali pertama Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan tuduhan sedemikian dengan berprasangka buruk, mengheret kepada tabiat mengumpat dan mencerca fitnah di akhir zaman yang boleh mengganggu-gugat keharmonian dan kestabilan di negara ini.

Sebagai seorang pemimpin politik seharusnya Ahli Parlimen Marang itu mengawal diri beliau agar tidak bermaharajalela dengan mengeluarkan kata-kata berunsur benih kebencian atau kata-kata yang boleh menimbulkan provokatif. Tindakannya itu akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan perpaduan umat Islam.

Bahkan kata-kata yang digunakan Abdul Hadi, tidak mencerminkan beliau sebagai seorang agamawan dengan nilai Islam sebenar, malah kenyataannya jelas mengandungi banyak percanggahan dengan ajaran Islam. Seolah-olah sengaja mahu mengapi-apikan masyarakat untuk turut sama mengeluarkan tohmahan terhadap mana-mana parti komponen yang berbeza wadah politik selain Pas.

Trend pemimpin politik Pas hari ini sering menyalahgunakan isu agama dan kaum dengan menyempit ruang politik. Pas suka menghukum dan mengeluarkan dalil-dalil dan fatwa mengikut hawa nafsu terhadap sesama Islam dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta terhadap pemimpin Islam dalam kerajaan yang memerintah negara ini sejak dahulu hingga sekarang, tetap tidak berubah.

Tetapi tanpa Pas sedari, dalil-dalil dan fatwa pemimpin mereka selama ini jelas bertentangan dengan Islam dan banyak mengelirukan rakyat khususnya umat Islam.

Lantaran itu, tidak bermakna pemimpin Pas boleh sewenang-wenang boleh menjatuhkan hukum wajib atau haram terhadap sesama Islam yang mempunyai ideologi politik yang berbeza dari partinya.

Semua ini memberi gambaran jelas bahawa Pas adalah parti yang suka membawa elemen perpecahan dan khilafiah. Pas adalah parti yang suka memecah-belah dengan menggunakan retorik kaum dan agama. Mereka pecah-belahkan keluarga, masyarakat dan negara.

Pas sanggup membiarkan negara rosak dan huru-hara, asalkan memberi keuntungan politik kepadanya. Oleh itu, dalam keghairahan mereka menghentam UMNO, maka keluarlah macam-macam dalil-dalil dan fatwa politik bagi menghasut dan mengalihkan perhatian masyarakat.

Saya harap Pemuda Pas dapat menasihati dan membimbing pemimpin-pemimpin parti berkenaan untuk memelihara adab ketika menyuarakan pandangan.-UTUSAN

MOHAMMAD IRFAN MOHD HALMI
Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu, Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×