SAUDARA PENGARANG,
Kemerdekaan adalah satu nilai yang signifikan dalam sejarah negara Malaysia. Namun, perlu diketahui penghayatan kemerdekaan belia Malaysia kini telah banyak berubah kerana dipengaruhi oleh penggunaan teknologi dan media massa.
Kemajuan pesat dalam teknologi komunikasi, belia mempunyai akses yang lebih luas dan cepat kepada maklumat telah membolehkan mereka mengalami dan memahami kemerdekaan dalam pelbagai cara yang berbeza.
Maka kaedah penghayatan kemerdekaan yang diamalkan oleh belia Malaysia hari ini, berbeza daripada generasi sebelumnya.
Media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, dan TikTok telah menjadi platform utama bagi belia untuk menyebarkan dan berkongsi maklumat mengenai kemerdekaan. Melalui platform ini, mereka tidak hanya menyertai perbincangan mengenai sejarah dan makna kemerdekaan tetapi juga mencipta dan menyebarkan kandungan yang berkaitan dengan sambutan hari kemerdekaan.
Lantas, penghayatan kemerdekaan dalam kalangan belia Malaysia pada zaman teknologi dan media massa kini telah mengalami perubahan yang signifikan. Media sosial, kreativiti digital, dan aktiviti dalam talian telah menyediakan belia dengan pelbagai cara untuk berinteraksi dengan tema kemerdekaan. Walau bagaimanapun, pendekatan ini membawa faedah serta risiko tersendiri.
Peningkatan penglibatan aktif, kreativiti dalam penghasilan kandungan, dan peluang untuk mendapatkan maklumat yang lebih luas memberikan faedah yang besar dalam memupuk pembinaan negara bangsa.
Dengan langkah-langkah yang betul, belia Malaysia boleh memanfaatkan teknologi dan media massa untuk merayakan kemerdekaan dengan cara yang lebih inklusif dan mendalam, sekaligus memastikan nilai-nilai patriotik tetap relevan dalam era moden ini.
Wajarlah untuk kita sebagai ahli masyarakat terutamanya dalam kalangan golongan belia sentiasa ingin menyemarakkan semangat kemerdekaan dan kekitaan sebagai rakyat Malaysia walaupun kaedah yang belia zahirkan berbeza namun manifestasi dan semangatnya tetap sama.
Janganlah kita melupakan perjuangan generasi terdahulu dalam membebaskan daripada cengkaman penjajahan. Kita juga sebagai masyarakat harus terus berusaha membebaskan diri kita dari cengkaman penjajahan dari aspek pemikiran dan tindakan. – UTUSAN
DR. MASTURA MAHAMED
Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahsa Moden dan Komunikasi, UPM










