SAUDARA PENGARANG,
SABAN hari kita disajikan dengan berita menyayat hati mengenai kepincangan pengurusan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) sehingga membawa kepada kematian bayi atau kanak-kanak.
Terbaharu, kematian Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri, lapan bulan di salah sebuah Taska di Taman Kelemak Utama, Melaka mengundang pelbagai reaksi rakyat Malaysia.
Namun, apa yang lebih keji adalah komen-komen negatif ditinggalkan warga siber atau lebih dikenali sebagai netizen seolah-olah menuding jari ke arah golongan ibu yang turut keluar bekerja dan menitipkan anak mereka kepada penjaga amanah sebelum ia bertukar menjadi tragedi.
Saudara dan saudari budiman sekalian, salahkah jika wanita mahu memiliki kerjaya dan pendapatan sendiri selepas berkahwin? Adakah perkahwinan bermaksud wanita perlu meletakkan titik noktah kepada impian dan perkembangan kerjayanya serta hanya fokus pada berkorban dan menyediakan keperluan suami dan anak-anak? Sekejam itukah sebuah institusi perkawinan kepada wanita?
Kita tidak tahu berapa komitmen bulanan sesebuah keluarga sehingga kedua suami isteri harus keluar bekerja dan menghantar anak ke taska. Kita juga tidak tahu latar belakang seorang perempuan yang mungkin datang dari keluarga susah dan dinamik tidak berfungsi. Jika terjadi apa-apa pada perkahwinannya, ke mana kaki harus melangkah sedangkan dia wanita sebatang kara dan lebih malang jika tiada sumber pendapatan sendiri.
Adakah netizen akan segera ke rumahnya dan menghulurkan bantuan kepada wanita sebegini? Jawapannya pasti tidak. Lagipun netizen yang banyak menghabiskan masa mencaci maki di media sosial pasti juga hidup di bawah garis kemiskinan kerana itu mereka melepaskan amarah di sebalik profil palsu. Bak kata pepatah, melempar batu sembunyi tangan.
Jadi, berhentilah berkata atau menaip perkataan buruk kepada sesiapa sahaja terutamanya keluarga mangsa. Mungkin netizen boleh salurkan tenaga negatif ke arah yang lebih positif dengan bersatu mengumpul dana, menggembleng tenaga dan bekerjasama dengan kementerian berkaitan untuk membuka beberapa buah pusat taska di kawasan tumpuan Lembah Klang. Ia diberi nama ‘Pusat Taska Netizen’ yang berada di bawah senarai tersebut sentiasa dipantau oleh netizen berkelayakan sehingga pekerjanya tidak berani melakukan sebarang bentuk penderaan mahupun penganaiyaan kepada kanak-kanak kerana laporannya akan dibentang di media sosial dan diketahui oleh seluruh penduduk Malaysia.
Netizen juga boleh menggunakan kemahiran memerhati dan menggali maklumat dengan membongkar semua pusat taska yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain memberi kesedaran serta menghebahkan mengenainya di media sosial untuk peringatan semua ibu bapa. Alangkah indahnya jika kita semua dapat bersatu dan menumbangkan kebatilan untuk kesejahteraan sejagat.
Di saat wanita yang bergelar ibu berjuang di medan pekerjaan mengejar cita-citanya dan mahu menyumbang sesuatu kepada kemajuan nusa dan bangsa, masyarakat produktif turut membantu mengawasi anaknya dan membenamkan segala kegusaran di hati sang ibu mengenai keselamatan anaknya. Marilah kita menuju ke arah menjadi masyarakat yang saling membangunkan tidak kira di alam maya atau alam nyata dan bukannya menjatuhkan terutamanya sesama perempuan.-UTUSAN
ILMI SAFINA
Kuala Lumpur










